Tempat menghantar karya secara online. Setiap karya yang terpilih akan disiarkan di blog yang bersesuaian. Anda juga boleh mempromosikan blog anda dengan menyertakan URL website anda. Selamat berkarya!


Sila isikan karya anda di sini.

Nama
Nama Pena
Email
URL (Jika Ada)
Mahu Papar URL (Jika Ada)
Tema Karya
Jenis Karya
Bukan original, nyatakan sumber
Tajuk Karya
Isi Karya


* Hanya karya yang terpilih sahaja akan disiarkan. Sila hantar karya yang mempunyai perenggan, susunan bahasa dan ejaan yang betul bagi memudahkan proses suntingan yang dilakukan secara manual.


* Penulisan yang menggunakan bahasa SMS atau singkatan yang keterlaluan tidak akan dilayan. Terima kasih.

Cerpen: Al-Kisah Sebuah Perkumpulan Elit

Cerpen: Al-Kisah Sebuah Perkumpulan Elit

Wang ringgit tidak akan pernah melahirkan apa-apa idea. Sebaliknya idealah yang selalunya menjana kekayaan. Patah kata Owen Laughlin, "Money never starts an idea. It is always the idea that starts the money."

Justeru ini adalah sebuah kisah. Alahailah ceritera tentang dua orang rakan. Sahabat karib yang memusatkan idea, konon untuk menjana wang ringgit berjuta-juta banyaknya. Menurut sesetengah orang, katanya ini cerita bohong semata-mata; sedang menurut sesetengah yang lain pula, kononnya ini cerita didasarkan kepada kisah nyata. Tidaklah diketahui yang mana betul dan yang mana tidak. Segalanya bermula ketika Pian, seorang pekerja bank dan Adam, seorang peguam, tiba-tiba meletak jawatan daripada pekerjaan masing-masing, lantas menjadi penganggur sepenuh masa. Maka pada suatu petang yang damai, mereka berdua pun duduklah di rangkaian sebuah kedai kopi berjenama antarabangsa di tengah-tengah ibu kota. Mereka berborak, berborak panjang; mereka mengadu, mengadu nasib. Tentang ekonomi yang semakin menghimpit, tentang kehidupan yang semakin sempit, tentang pekerjaan yang penuh tekanan, tentang gaji yang tidak berbaloi dan tentang harga barangan yang mencanak naik. “Pada zaman ini,” begitu kata Pian setelah menghirup Cappuccinonya barang secicip, “graduan universiti yang masuk bekerja sebagai eksekutif diperlakukan semacam kuli buruh murahan. Disuruh bekerja tanpa mengira siang dan malam – kalau tidak, nanti dituduh pemalas dan konon tak giat berusaha cari pengalaman – sedangkan gaji yang diberikan hanya seciput!”

“Dengan RM2,000 - RM2,500 sebulan,” begitu keluh Adam pula, “manakan cukup nak bayar kereta, perlu bayar rumah, kena bayar api air lagi dan tak lupa juga kewajipan hantar wang pulang ke kampung setiap bulan. Alahai, kos hidup sekarang bukannya murah. Manakan lagi nak cari duit kalau kereta tiba-tiba rosak atau diri tiba-tiba jatuh sakit dan perlu ke hospital atau kalau tiba-tiba ada kemalangan di luar duga? Manakan lagi nak beli pakai dan makan? Manakan pula nak buat simpanan untuk hari-hari mendung?”

Kerana itulah mereka berdua akhirnya memutuskan untuk berhenti bekerja.

Dan kini, mereka cuba memusatkan idea: “Kita perlu lakukan sesuatu,” kata Pian agak menegaskan, “cari jalan dengan kemahiran yang ada, dengan pengalaman yang terkumpul, kita mesti cipta peluang untuk buat duit. Kita tak boleh selamanya menyerah pada sistem yang tak adil. Belajar tinggi-tinggi sampai ke menara gading, tapi bila keluar, disuruh kerja macam abdi. Kehidupan tambah menghimpit setiap hari. Tak ada waktu bahkan untuk mengurus diri sendiri, kerana jadual yang sendat – keluar rumah sebelum matahari terbit dan balik ke rumah ketika tengah-tengah malam buta,” kata Pian kembali.

Mereka terus berbual, sesekali borak kosong, sesekali bicara berisi dan minuman dalam cawan masing-masing yang pada asalnya penuh, surut menjadi separuh, kemudian susut lagi sampai menjadi kosong sepenuhnya. Kedai kopi itu pula yang tadinya agak lengang kini mulai diisi orang, semuanya baru pulang dari pejabat. Jam sudah menunjukkan enam petang. Ketika itulah mereka tiba-tiba mendapat suatu idea untuk menubuhkan sebuah grup elit.

“Tapi bukan grup sebarangan,” begitu kata Adam menekankan, “sebaliknya grup rompakan.”

Pian kelihatan mengerutkan dahi, barangkali masih tidak mengerti. “Rompakan?”

“Ya, tapi bukan grup rompakan sebarangan,” lanjut Adam lagi, “sebaliknya grup rompakan elit yang profesional. Katakan kita namakan ia Perkumpulan Perompak Seantero Malaysia yang Inteligen – atau singkatannya PPSMI.

“Hah?” Pian melopongkan mulut, tercengang alangkah tercengang, tentunya dia tak percaya.

Justeru, Adam pun menerangkan dengan lebih rinci. Dalam grup PPSMI itu nanti, begitu terang Adam, rompakan tidak akan dijalankan dengan cara yang sama seperti perompak-perompak lain. Sebaliknya akan menggunakan sepenuhnya kemahiran dan pengetahuan setiap daripada ahli grup. Setiap orang dalam bidangnya yang masing-masing akan menyumbangkan kepakaran untuk melicinkan aktiviti merompak harta kekayaan orang lain.

“Lantas apa yang ingin kita rompak?”

“Bank,” jawab Adam pantas sebelum menyambung lagi, “dan apa-apa saja institusi kewangan lain. Pokoknya semuanya yang boleh memberikan kekayaan. Apa saja yang ada nilai wang ringgit di dalamnya.”

“Dan kalau tertangkap, bagaimana?” Jelas sekali Pian masih belum pasti. Soalnya, merompak adalah suatu jenayah berat. Betapapun sukar keadaan dan betapapun menekan kehidupan, Pian belum sampai sebegitu terdesak untuk memilih jalan sedemikian. Melainkan – ya, melainkan – kalau dia dapat diberi kepastian dan keyakinan.

Maka itulah yang dilakukan oleh Adam, cuba meyakinkan Pian: “Kau adalah bekas pekerja bank. Justeru kau ada kepakaran, atau sekurang-kurangnya pengetahuan tentang selok-belok keselamatan dalam bank. Aku pula bekas peguam. Justeru kalau ada di kalangan kita yang tertangkap, aku tahu selok-belok kelompongan dalam undang-undang yang boleh kita manfaatkan untuk lepaskan diri; malah kalau perlu, tak ada masalah untuk aku putar belitkan sebarang peruntukan perundangan untuk kepentingan grup PPSMI. Justeru kau tak perlu risau tentang itu.” Diam yang agak panjang sebelum Adam menyambung lagi, “Inilah yang aku maksudkan dengan PPSMI yang profesional. Kita gemblengkan kemahiran untuk merompak dan mengayakan diri dan juak-juak kita.”

Segarit kecil kelihatan tertarik pada bibir Pian. Mereka berdua memesan lagi minuman tambahan. “Idea yang menarik,” kata Pian, “tapi memerlukan perancangan yang benar-benar teliti. Sebab ini soal besar. Ini soal bahaya. Tak boleh dibuat main-main.”

“Indeed,” balas Adam dengan telor dibuat-buat, “it is a very dangerous plan. Tapi semuanya akan berbaloi bila kita menjadi kaya-raya nanti.”

Mereka berdua tertawa. Azan berkumandang dari masjid berhampiran. Sedikit sayup beralunan. Suasana kedai kopi itu semakin ramai, tampaknya kebanyakannya eksekutif muda yang pulang dari pejabat – sebelum pulang ke rumah, singgah bersantai di kedai kopi. Lagu instrumental terus dimainkan menerusi corong suara kedai tersebut. Tingkah meningkah alunannya dengan merdu suara azan di luar. Latar pencahayaan kekuningan yang malap memberikan suasana nyaman dan cosy. Kontras dengan remang senja di luar. Minuman mereka sampai. Adam dan Pian mencicipnya perlahan.

“Selain aku bekas pekerja bank,” kata Pian, “dan kau bekas peguam, siapa lagi agaknya yang kita perlukan? Kalau menurut perancangan kau, berapa ramai semuanya yang harus kita rekrut untuk grup PPSMI itu nanti?”

Adam kelihatan berkira-kira barang sebentar, sebelum kemudiannya bersuara: “Kalau menurut kau bagaimana? Kau tentu lebih tahu selok-belok sistem keselamatan dalam Bank. Individu-individu dengan kepakaran apa saja yang kita perlukan?”

“Kita perlukan sekurang-kurangnya seorang Pakar IT,” kata Pian.

“Seorang jurutera juga.”

“Untuk apa, jurutera?”

“Untuk memecah masuk pintu kebal.”

“Itu mekanik atau tukang pun sudah memadai.”

“Tapi kita kan mahu sebuah grup yang profesional. Jadi biarlah yang ada kelayakan tinggi. Bukan sekadar kepakaran vokasional.”

“Oh, betul juga.”

“Lagi?”

“Arkitek”

“Untuk apa arkitek?”

“Pelan keselamatan dalam bangunan bank biasanya sangat rumit. Justeru kita perlukan seseorang yang boleh membaca pelan dengan teliti dan kemudian merancang pergerakan berdasarkan struktur bangunan bank yang ingin dirompak.”

“Oh, betul juga.”

Mereka terus berkira-kira mencongak perencanaan.

“Akauntan.”

“Untuk apa?”

“Mahu berkira-kira hasil yang dirompak itu nanti.”

“Lagi?”

“Pakar CSI”

“Apa tu?”

“Crime Scene Investigation – siasatan lokasi jenayah.”

“Untuk apa pula? Kita bukan hendak jadi polis dan siasat kes apa-apa.”

“Ya, tapi kita perlukan pengetahuan dalam teknologi CSI terkini, supaya kita boleh hapuskan sebarang jejak bukti setelah selesai melakukan setiap rompakan nanti.”

“Oh, betul juga. Lagi?”

“Kalau boleh,” cadang Pian dengan serius, “biarlah kesemua ahli grup PPSMI itu nanti daripada kalangan mereka yang pandai berbahasa Inggeris.”

“Hah,” Adam sedikit tercengang, “kenapa pula?”

“Ya lah, kalau tak pandai berbahasa Inggeris, nanti macam mana nak buat kerja secara profesional. Macam mana nak jadi perompak yang profesional.”

“Tapi apa kena-mengena bahasa Inggeris dengan perancangan untuk merompak secara profesional?”

“Banyak kaitannya,” balas Pian. “Berdasarkan pengalaman bertugas selama lebih tiga tahun di bank, aku lihat kebanyakan rompakan yang gagal adalah kerana para perompak tidak faham – atau tidak fasih – berbahasa Inggeris. Mereka biasanya terdiri daripada individu-individu yang tidak begitu terdedah kepada persekitaran berbahasa Inggeris. Kebanyakannya datang dari kampung-kampung atau pinggir-pinggir bandar kecil. Apabila datang ke bandar besar, mereka begitu sukar hendak mencari pekerjaan. Lantas, sebagai jalan terdesak, rompakan bank menjadi jalan pilihan. Tapi sayang sekali, kerana tak fasih berbahasa Inggeris, akhirnya mereka tertangkap dan merengkok di penjara.

“Kau tahu, untuk kita merompak sesebuah bank, kita perlu pecah masuk kawalan pintu besi bank. Sistem kawalan pintu besi ini menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Begitu juga dengan jejaring pentadbiran keselamatan, semuanya adalah dalam bahasa Inggeris. Kalau ahli-ahli grup PPSMI itu nanti tidak pandai – atau lemah – dalam bahasa Inggeris, bagaimana mereka hendak menjalankan rompakan secara profesional dan efisen. Terutamanya untuk pakar IT dan jurutera grup kita nanti, mereka perlu benar-benar menghayati bidang tersebut dalam bahasa Orang Putih agar dapat menjadi perompak yang berwibawa. Kalau tidak, tentu sekali kita akan begitu mudah terdedah kepada risiko tertangkap. Kita akan hanya menjadi perompak murahan, andai begitu.

“Selain itu,” Pian tampaknya belum habis memberikan hujahnya yang panjang lebar, “kalau ahli grup PPSMI itu nanti tidak pandai – atau lemah – dalam bahasa Inggeris, bagaimana mereka hendak menghitung hasil rompakan dengan tepat?”

“Ah,” pintas Adam, “tak ada perkaitan apa-apa antara menghitung hasil rompakan, dengan kebolehan berbahasa Inggeris.”

“Banyak kaitannya,” tegas Pian pula, “untuk menghitung-kira dengan baik, kita perlu berbahasa Inggeris. Kalau sekadar berbahasa Melayu saja, tentu sekali nanti hasil hitungan menjadi tidak tepat. Lalu pembahagian kekayaan hasil rompakan antara sesama kita pula akan menjadi tidak seimbang. Justeru kalau benar kita hendak menjalankan operasi secara besar-besaran melalui sebuah sistem yang efisen dan berkesan, maka kita perlukan mereka yang mengira dan berfikir dalam bahasa Orang Putih, bukan menghitung dan berfikir dalam bahasa Melayu.”

Adam mengerutkan dahi. Tetapi hanya diam. Berfikir panjang barangkali. Lagu instrumental terus turun naik. Haruman kafeina daripada minuman mengapung-apung merangsang perasaan yang mujarad. Keadaan di luar, seperti yang terlihat dari jendela kaca kedai kopi itu, semakin remang. Langit diwarnai kemerah-merahan yang memukau bagai sebuah catan karyawan impresionis.

“Hmmmh,” keluh Adam akhirnya, “kalau begitu nampaknya kita hanya boleh merekrut ahli untuk grup PPSMI dari kalangan yang tinggal di kawasan-kawasan bandar saja. Kerana individu-individu di bandar lebih terdedah kepada persekitaran berbahasa Inggeris berbanding mereka yang di pedalaman. Masyarakat kosmopolitanlah katakan.”

Nah, akhirnya, setelah perbincangan yang panjang itu, kata sepakat pun mereka capai: bahawa mereka akan merekrut pakar-pakar IT, jurutera, arkitek dan akauntan untuk bersama-sama dalam grup PPSMI. Misi mereka hanya satu: yakni untuk jalankan rompakan secara bersistematis dan mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya. Untuk mencapai matlamat itu, penekanan diberikan kepada hakikat bahawa bahasa rasmi untuk merompak adalah bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Melayu dilarang sama sekali.

Mereka bangun, bersalaman, membayar hasil minuman mereka tadi, lalu beredar pergi dengan semangat kuat untuk menjadi perompak.

INFO Penulis

AIDIL KHALID yang menulis dalam genre cerpen, sajak, novel dan skrip drama radio adalah peserta Minggu Penulis Remaja tahun 2007. Karyanya mendapat tempat di media cetak arus perdana selain turut menulis skrip drama radio untuk Klasik Nasional FM. Novel sulung pengarang yang kini bertugas di Tetuan Azlan Shah Sukhdev & Co ini diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing dengan tajuk, Bila Nysrah Kata Tak Mahu. Novel keduanya, Dengan Tintayang disirikan di akhbar Berita Minggu dari 6 September 2009 sehingga 21 Februari 2010 masih sedang dalam proses penyusunan semula untuk diterbitkan dalam bentuk buku. Pengarang boleh dihubungi di aidilkhalid@ gmail.com atau layari http://aidilkhalid.

Untukmu Duhai Teman

Untukmu Duhai Teman
tumblr lllg8bAQxc1qegw2lo1 500 Untukmu Duhai Teman
Sahabat, ingatlah… aku rindu…
Saat manis kita ketawa bersama…
Saat pahit kita menangis berdua…
Jangan kau meletakkan tembok di antara kita…
Tembok yang bisa memusnahkan segala…
Sahabat, ingatlah… aku kecewa…
Di saat engkau tidak menghiraukan…
Di waktu engkau mengasingkan…
Ketika itu, bulan tidak berseri…
Cengkerik turut menyepi…
Sahabat, ingatlah… aku berharap…
Agar kau tidak menjauh…
Agar kau tidak mudah rapuh…
Tidak kira sekuat mana badai melanda…
Kita pasti tetap BERSAMA…

Nukilan:
Nana Razliana


Sumber: http://ipuisi.com/untukmu-duhai-teman

Puisi Keinsafan

565824731 899dbfc679 Puisi Keinsafan
Tuhan
Lihatlah aku yang telah durhaka ini
Lihatlah aku yang telah hanyut dalam lumpur hitam
Setiap tengah malam gulita
Aku menundukkan keningku menghadapmu Sang Robbi
Meminta padaMU anggur pelega atas kerinduan
Tuk memeras darahku yg dingin, brgantikan darah yang hangat kasihMU

Robeklah dadaku,
Basuhlah hatiku yang telah kotor karna nistaku
Dan putuskanlah nadi yang mengalirkan dosa
dan sucikanlah ke dalam lautan ampunanMU

Aku hanyalah tulang dan tanah
Yang tak memiliki apapun, kecuali nyawa dariMU
Ku tanggalkan jubah” takaburku, dan menggantikannya dengan sorban tawadhu’ ku
Tuk meraih kedamaian sejati
Ketenangan d hari akhir
Ku kembali padamu, dalam asma MU
Dengan segala pemberianMU
Aku mengHamba

Nukilan: Jane
URL : http://www.facebook.com/media/set/?set=a.1440738709928.2056662.1576884077



Sumber: http://ipuisi.com/puisi-keinsafan

Cerpen: Kasih yang Terbuang

HANISYIQA menghidu bau wangi bada pisang yang digoreng ibunya, aroma masakan itu mengapung terus dari dapur ke ruang tamu. Dia mengusap perut, kecur air liur terus menjilat bibir. Selera makannya menjadi-jadi pantang terbau makanan panas-panas yang bergoreng nafsu makan terus bangkit. Berat badannya naik mendadak lantaran selera makannya yang meningkat itu. Bukan dia tidak cuba mengawalnya, namun seleranya memang gagal dikekang. Belum sempat dipelawa Hanisyiqa sudah mengetis hujung bada pisang yang masih panas di dalam pinggan.

“Ibu, duit.” Hanisyiqa mengerjap-ngerjap mata seakan memujuk.
“Duit, duit. Ke mana saja, Hani halakan duit saku Hani?”
“Ibu, ni. Hani tiap-tiap hari pergi perpustakaan dan kafe siber. Tengoklah selera makan Hani pun bertambah. Banyak membaca, banyak hal tentang kemasukan ke universiti kena tengok melalui internet, banyak guna tenaga tau, Ibu. Singgah makan, beli bahan-bahan bacaan.” Hanisyiqa beria-ia meyakinkan.

Wanita berwajah manis lingkungan awal 50-an dengan tahi lalat di dagu, tidak mahu berbantah-bantah lagi. Kabinet dapur dibuka, wang not RM50 dihulur dengan lembut. Hanisyiqa membalas dengan pelukan. Tangan kanan menyambut huluran wang, sementara tangan kiri memegang bada pisang. Mulutnya masih penuh dengan makanan, Ibu dicium di pipi dan dia berlalu pergi. Kehidupan Ibu sebagai pembantu am rendah di sekolah tidak mendedahkan Ibu dengan banyak hal dunia, apa saja yang dikatakan Hanisyiqa diterima bulat-bulat atas dasar percaya dan kasih. Dunianya hanya sekolah rendah tempat dia bekerja dan rumah pangsa kos rendah yang didiaminya bersama satu-satunya permata hati peninggalan arwah suami. Hanisyiqa ditatang bagai minyak yang penuh dari kecil hingga kini. Dia bersyukur anak gadisnya itu pintar. Keputusan UPSR, PMR dan SPMnya cemerlang dengan rekod 5A, 8A dan 10A. Kini Hanisyiqa di ambang menunggu keputusan untuk melanjutkan pelajaran. Ibu yakin kejayaan anaknya itu berterusan dan kemanisan akan berulang. Pengetahuan Ibu terbatas pada aktiviti Hanisyiqa semasa menunggu keputusan SPM. Anak gadisnya itu tidak disuruh bekerja sambilan, malahan hanya bersenang-senang di perpustakaan dan kafe siber untuk menambah pengetahuan, begitulah dakwa Hanisyiqa pada Ibu. Kelmarin, ada jiran yang membabarkan hal kurang enak tentang anak gadis kesayangannya. Tidak kurang juga yang bertanya mengapa anak gadisnya itu tidak disuruh bekerja.

“Hani tu ke mana cuti-cuti macam ini, kau tahu ke’ Leha?” Zubaidah jiran sebelah rumah membuka bicara.

“Dia anak aku, aku tahulah. Dia ke perpustakaan, pergi kafe siber. Kan dia nak masuk universiti. Macam-macam hal kena tengok di internet tu. Dia pergi perpustakaan biarlah. Aku tak mampu belikan buku mahal-mahal. Di perpustakaan dia baca percuma. Kan bagus.”
“Bukannya apa. Salim ni, Nampak Hani dengan lelaki naik motor besar. Ke hulu ke hilir jugalah. Bukan sekali dua. Dia tak kerjakan? Ke mana saja dia ke hulu ke hilir macam tu, ” Zubaidah menunggu reaksi balas, bimbang Ibu melenting.

“Salim tu, sekolah takat tingkat tiga. Dengkikan Hani agaknya. Kau jagalah anak kau. Aku jaga anak aku.” Ibu mengawurkan kata-kata pedas dan berlalu pergi.

Zubaidah sebagai jiran hanya menggeleng. Niatnya bukan menjaga tepi kain orang, tetapi memberitahu hal sebenar. Reaksi melenting memang boleh disangka kerana Hanisyiqa memang kelihatan seperti anak gadis yang manis yang sempurna.

Perangkap Kasih
KEPINTARAN dan kecerdasan anak didik akan selalu memutik rasa kasih dan perhatian tidak berbelah bagi di hati pendidik. Cikgu Imran memandang Hanisyiqa memang berbeza daripada pelajarnya yang lain. Selain cerdas dalam pelajaran, pengetahuannya tentang hal ehwal semasa juga mendalam. Diselidiki rekod Hanisyiqa dari segi akademik dan latar belakang peribadi timbul rasa kasihan dan simpati. Anak yatim dan beribu tunggal yang hanya berkerja kais pagi makan pagi.

Cikgu Imran tahu, dulu Hanisyiqa pernah menolak untuk ke kelas tambahan berbayar kerana keterbatasan kewangan. Cikgu Imran memberi galakan untuk Hanisyiqa membuat latihan tambahan dan merujuk kepadanya. Selalu juga dia melihat Hanisyiqa dengan rakan kumpulan belajar yang lain. Nurdiana, Fuziah, Marlis, Farouk dengan Jalal. Berenam dengan Hanisyiqa kumpulan belajar mereka memang terancang dan mempunyai prestasi membanggakan. Dua minggu sekali, Cikgu Imran menjemput mereka ke rumahnya untuk mengulang kaji. Cikgu Imran masih tinggal dengan keluarga di rumah banglo bersama ibu bapa dan adik bongsunya. Kadang-kadang dia menghantar keenam-enam anak didiknya itu pulang dengan MPV milik keluarga. Selalunya kalau mereka datang, dijamu dengan makanan yang enak dan berkhasiat. Hanisyiqa biasanya makan dengan berselera, dari situ Cikgu Imran meneka bahawa makanan seperti udang, sotong dan ketam memang jarang dijamah oleh anak didiknya dari kalangan keluarga yang berpendapatan rendah. Setakat mana kemampuannya, dia berusaha. Ikrarnya sebagai pendidik. Dia cuba memberi peluang kepada pelajarnya yang berpotensi terutama yang tidak bernasib baik untuk mereka dipermudahkan jalan dalam menuntut ilmu. Selepas tamat, peperiksaan SPM masing-masing membawa haluan sendiri. Dia pernah menghadiahkan Hanisyiqa telefon bimbit, atas kejayaan dalam keputusan peperiksaan percubaan SPM. Namun, tidak selalu mereka berhubungan. Cikgu Imran bimbang disalahertikan. Namun baru-baru ini dia tersentak. Di lampu trafik persimpangan sekolah, dia melihat Hanisyiqa membonceng lelaki hampir sebaya usianya. Hanisyiqa memalingkan wajah membuatkan Cikgu Imran tidak dapat memastikan sama ada gadis itu benar-benar Hanisyiqa atau ilusi semata-mata.

“Siapa jantan tadi yang pandang U dari dalam kereta?” Razi meninggikan suara membentak inginkan jawapan daripada Hanisyiqa.

“Cikgu sekolah I.”

“U ada hubungan dengan dia? Hah?” Razi memicit dagu Hanisyiqa dengan keras. Hanisyiqa menahan sakit dan memujuk agar tidak dikasari.

“Cikgu sekolah saja. Tak lebih daripada tu.” Hanisyiqa meyakinkan.

“Oh, cikgu yang beri U handphone kan? U bagi apa pada dia sampai dia bagi macam-macam?” Amarah cemburu Razi masih belum reda. Ikatan tocang kuda Hanisyiqa disentak, air mata sudah mula merembes dari pelupuk mata Hanisyiqa. Tubuh kecil Hanisyiqa dihumban ke sofa. Hanisyiqa memujuk Razi. Perkenalan singkat melalui alam maya dan seterusnya pertemuan di kafe siber telah merubah seluruh hidup Hanisyiqa. Razi, pelajar universiti swasta dengan berbekalkan paras wajah rupawan dan harta kekayaan keluarga dengan mudah memastikan Hanisyiqa jatuh ke tangannya. Razi sudah lama mensasarkan Hanisyiqa yang kelihatan naif dan berbudi untuk menjadi kekasih hati. Dia mengekori Hanisyiqa ke kafe siber dan mengupah pemilik kafe siber untuk mendapatkan ID Yahoo Messenger, milik gadis genit itu, sebelum menjual ayat-ayat manisnya. Kemudian, dia mengatur pertemuan mata bertentang mata dengan Hanisyiqa. Razi menabur kemewahan berbentuk barangan kepada gadis manis itu. Dibawanya gadis manis itu, ke SPA di samping menjalani rawatan muka. Sekali sekala merapikan kuku kaki dan tangan. Kadang-kadang bermotor kuasa tinggi, kadang-kadang dipandunya kereta mewah milik keluarga. Hanisyiqa terbuai dengan hidup selesa. Razi sudah bosan dengan gadis yang ditemui di kelab malam dan gadis sekolejnya. Pucuk dicita ulam mendatang, tidak sampai sebulan Hanisyiqa sudah berjaya ditaklukinya dari hujung rambut ke hujung kaki. Razi memandang Hanisyiqa yang merengek-rengek memujuknya, entah kenapa hatinya masih sayang. Biasanya cukup tiga bulan Razi akan bertukar gadis lain. Hatinya terikat, mungkin kerana Hanisyiqa bijak dan merendah diri. Gadis itu naif malahan masih suci tatkala mereka bertemu pertama kali dan tidak pernah mengatakan tidak pada permintaannya.

Debar Hati Ibu
KATA-KATA Zubaidah meninggalkan kesan hebat di hati Ibu. Jam menunjukkan pukul 7 malam. Kelibat Hanisyiqa masih tidak kelihatan. Hati Ibu, terusik. Bilik anak gadisnya yang manis tidak pernah diselongkar atau diselidiki.

Kepercayaannya pada Hanisyiqa tinggi. Sanggup dia mempertaruhkan nyawanya bahawa anak gadisnya itu, masih anak manis yang dikenalinya dulu. Dia tidak percaya. Langsung tidak percaya dengan cerita-cerita bingit daripada jiran tetangga. Almari berwarna coklat tua yang usang diselak daun pintunya. Baju Hanisyiqa dikibas satu persatu dari gantungan. Memang Ibu perasan banyak baju baru dan agak mahal kelihatan. Ibu masih cuba memahami gelojak jiwa anak muda untuk bergaya, Ibu mula faham mengapa wang saku Hanisyiqa selalu tidak cukup. Buku akaun ASB Hanisyiqa diperiksa, wang pelaburannya bertambah. Sedikit demi sedikit. Ibu bangga anaknya menabung. Hati mula bertanya, jika wang saku ditabung, Hanisyiqa bermewah bagaimana? Ibu menyedapkan hati sendiri. Mungkin Hanisyiqa bekerja sambilan. Dia tersenyum sendiri. Dia beralih mendekati meja solek. Alatan yang ada masih seperti dulu. Bedak bayi jenama Johnson & Johnson yang selalu dipakai, deodorant Rexona dan celak mata dari Makkah. Setakat itu saja bersama sikat rambut dan getah berwarna-warni. Nafas lega dilepaskan oleh Ibu kerana Hanisyiqa masih anak gadis yang dikenalinya dulu. Dia mahu membabat kepala jiran-jirannya selepas ini, kalau mereka memburukkan Hanisyiqa lagi.

“Ibu? Kenapa Ibu menangis ?” Hanisyiqa duduk di sebelah Ibu.

Ibu menggeleng dan mendakap Hanisyiqa erat.

“Hani dah berisi sangatlah. Tengok lengan pun banyak daging.” Ibu memicit-micit lengan kanan Hanisyiqa. Hanisyiqa tersenyum. Memang benar berat badannya bertambah mendadak. Mungkin kerana ditamu makanan mewah oleh Razi. Hatinya senang bersama buah hati. Walaupun dia tidak suka aktiviti Razi merempit di jalanan. Hanisyiqa tetap memberi sokongan walaupun selalu memujuk Razi meninggalkan tabiatnya. Razi anak orang berada, Hanisyiqa yakin satu hari Razi akan berubah dan kebahagiaan akan menyebelahinya. Tiba-tiba tekaknya mual dan meloya. Agaknya makanan yang dibeli Razi tadi membuatkan dia begini. Dia berlari laju ke tandas. Ibu mengekori dari belakang.

“Salah makan agaknya.” Hanisyiqa menyedapkan hati Ibu
Gerak naluri hati seorang Ibu, gagal membendung rasa ingin tahu. Rasa curiga berputik. Pertambahan berat badan dengan selera mendadak. Kini, anak gadisnya muntah-muntah. Oh, Tuhan! Bisikan-bisikan nakal dan umpat keji jiran mula terngiang-ngiang. Ibu mengurut dada. Dia diserang asma tiba-tiba. Hanisyiqa menelefon teksi. Dipapah Ibu ke dalam teksi. Tubuh genitnya tidak mampu menanggung badan Ibu yang berisi. Salim, jiran sebelah rumah dipanggil. Di klinik, kedua-dua Ibu dan anak diperiksa. Ketika ucapan tahniah diucapkan oleh doktor wanita yang memeriksa Hanisyiqa, seluruh tubuh Ibu berapungan ke udara. Melayang. Dunia gelap tiba-tiba. Ibu pengsan. Sebaik sedar, racau Ibu terus menjadi-jadi.

“Ibu nak tahu, siapa? Siapa?” Ibu memekik-mekik.

“Sabarlah mak cik. Sabar. Hani pun kurang sihat. Mak cik pun. Berehatlah dulu. Esok pagi, mak cik bincangkan baik-baik.” Salim cuba memujuk.
“Ya Allah, Hani. Apa yang kau buat pada Ibu. Apa?”

Hanisyiqa hanya terbayangkan wajah Razi. Berbalam-balam dengan wajah Cikgu Imran. Hanisyiqa dibisikkan idea-idea hitam. Dia mahu melindungi Razi. Dia tidak mahu Razi terlibat dalam masalah.

“Cikgu Imran, Ibu. Hani, dirogol.” Hani menitiskan air mata palsu.
Benih haram di rahimnya bukan hasil keterpaksaan, tetapi benih nafsu yang bercambah membesar akibat pujukan syaitan. Cikgu Imran pula yang dijebakkan.

“Kita lapor pada, polis.” Ibu mengesat air mata, terus simpati pada anak gadis membuak-buak.

“Jangan, Ibu. Jangan.”

“Kita pergi rumah dia. Hani tahu kan rumah dia?” Ibu menyarankan.

Hanisyiqa mengangguk dan melangkah longlai.

Korban Kasih
“MAK CIK, saya akan bertanggungjawab.” Jawapan itu meluncur ikhlas dari mulut Cikgu Imran. Ibu bapanya terkesima. Mereka saling berpandangan. Anak teruna kesayangan mereka tidak akan berkelakuan sumbang. Tetapi jauh di sudut hati mengetahui ada alasan sebab musabab jawapan itu keluar dari mulut anak teruna kesayangan, maka mereka merelakan. Tidak ada ketegangan. Suasana hening. Seorang demi seorang bercakap. Perbincangan lancar tanpa sampuk menyampuk. Ibarat lanting menuju tampuk, berkata menuju benar. Ibu menghembus nafas lega. Hanisyiqa membentuk bibir, antara sesal dan lega kerana selamat daripada aib dan amukan Ibu.

“Baguslah, kalau macam tu. Mak cik , tak mahu menanggung aib bertimpa-timpa. Kami tak akan lapor pada polis kalau Cikgu hendak bertanggungjawab.”

“Tapi, Ibu. Hani tak mahu kahwin dengan Cikgu Imran.” Antara keluar dengan tidak ayat itu di bibir mungil Hanisyiqa.

Cikgu Imran terpukul. Hanisyiqa kini seperti meletakkan Cikgu Imran bagai dipukul lutut sakit, direngkuh siku ngilu. Entah apa yang bermain dalam benak dan kepala Hanisyiqa ketika ini. Bayangan Razi sahaja yang tampak di retinanya. Cikgu Imran meminta izin untuk berbicara sendirian dengan Hanisyiqa di laman rumah. Deru air terjun mini dari kolam Jepun menenggelamkan perbualan mereka.

“Kenapa sampai macam ni? Cikgu nak tolong Hani. Kenapa Hani menipu?”
“Kenapa Cikgu tu bodoh sangat, mengaku? Cikgu boleh nafikan saja.” Hanisyiqa senyum mengejek.

“Sebab kamu anak didik Cikgu. Ibu kamu sakit, kita boleh selesaikan semua ni baik-baik. Cikgu tak nak kamu hanyut.”

“Cikgu ingat saya hendak sangat kahwin dengan Cikgu?” Mulutnya dijuih, mendabik dada kerana dalam keadaan sudah ditebuk tupai, Cikgu Imran masih mahu menyuntingnya.

“Jangan silap, Hani. Saya sudah bertunang dengan gadis pilihan saya. Saya hanya menunggu dia menamatkan pengajian sarjananya di luar negara. Saya katakan saya akan bertanggungjawab bukan dengan menikahi kamu. Saya, cikgu kamu. Saya bertanggungjawab menangani masalah kamu.”

Hanisyiqa tersentak sedar kekhilafan diri. Malu tiba-tiba. Perasaan yang sudah lama sirna dari jiwanya.

“Kita akan lapor pada polis, kalau teman lelaki kamu tak nak bertanggungjawab. Cikgu akan carikan rumah perlindungan untuk kamu lahirkan bayi ni. Untuk kamu kembali ke pangkal jalan.” Cikgu Imran memandang Hanisyiqa yang hanya membuang pandangan jauh, kakinya menguis rumput mutiara di halaman rumah.

“Ingatlah Hani. Nabi pernah bersabda, ‘Berkata benarlah, walaupun pahit.’ Kamu saja yang boleh menjernihkan kekeliruan yang timbul. Cikgu tak paksa. Tapi, hakikatnya yang hitam tetap hitam dan yang putih tetap putih. Cikgu hanya bimbangkan masa depan kamu. Maruah dan kesihatan Ibu kamu penting. Cikgu harap, kamu fikirkanlah masak-masak. Jangan jatuh di lubang yang sama dua kali. Sedar dan bangkitlah daripada kesilapan semalam.”

Hanisyiqa mencari kekuatan untuk bercakap benar pada Ibu dan ibu bapa Cikgu Imran. Tidak ada kata yang mampu diucapkannya, hanya tangis panjang dan raungan ampun maaf. Mereka saling berpandangan. Menunggu penjelasan daripada Hanisyiqa untuk mendengar hakikat dan kebenaran.

Oleh Farahana Hussain
farahnyemahmulya@yahoo.com

INFO Penulis:
FARAHANA Hussain, peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2002 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan penerima Anugerah Penulis Remaja Negeri Perak 2004. Kini berkhidmat di Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) JPA sebagai Penolong Pengarah .Cerpen dan sajaknya, mendapat tempat dalam Tunas Cipta dan FOKUS SPM sekitar 2002 hingga kini. Cerpennya, Kidung Kasih Farah diterbitkan dalam Antologi Aku Dan Aleeya terbitan DBP, 2002. Boleh dihubungi melalui e-mel farahnyemahmulya@yahoo.com