Tempat menghantar karya secara online. Setiap karya yang terpilih akan disiarkan di blog yang bersesuaian. Anda juga boleh mempromosikan blog anda dengan menyertakan URL website anda. Selamat berkarya!


Sila isikan karya anda di sini.

Nama
Nama Pena
Email
URL (Jika Ada)
Mahu Papar URL (Jika Ada)
Tema Karya
Jenis Karya
Bukan original, nyatakan sumber
Tajuk Karya
Isi Karya


* Hanya karya yang terpilih sahaja akan disiarkan. Sila hantar karya yang mempunyai perenggan, susunan bahasa dan ejaan yang betul bagi memudahkan proses suntingan yang dilakukan secara manual.


* Penulisan yang menggunakan bahasa SMS atau singkatan yang keterlaluan tidak akan dilayan. Terima kasih.

Sajak: Srikandi Di Tujuh Lembah

Srikandi Di Tujuh Lembah

Dia
Hanyalah srikandi semalam
Menunggang jasad di alam kelam
Mengutip mengumpul sisa silam
Menjejak tujuh lembah yang dalam
Hingga derita meminatinya dalam diam

Di lembah gelita
Tenggelam srikandi bersama lupa dan alpa
Menunggang bangga kembara di rimba
Hanya kerana dia seorang srikandi muda
Lalu dirampas dirantai pemburu durjana
Kerana dendam semalam mahu dilaksana

Masa tiada lagi ditunda
Srikandi bangkit berdiri meronta
Menjejak memburu ditujuh lembah merata
Tiada sedar disinggahi derita sengsara
Kerana tiada gentar sudah di jiwa
Tatkala pedang digenggam dihunus mara

Bergelut kini tiadalah henti
Selagi pemburu melangkah mencari
Selagi itu srikandi kejap menggengam pedang sakti
agar berpencak mantap di tujuh lembah yang diharungi
hingga pemburu tersungkur tiada berkubur
kerana dikepung silau cahaya sakti yang tiada mundur…

Nukilan: Hawa



Sumber: http://ipuisi.com/sajak-srikandi-di-tujuh-lembah

Puisi Lelaki

anaksoleh cartoon t2 Puisi Lelaki

Lelaki

Dulu,
Bila di sebut lelaki,
Wanitanya mendongak megah,
Lelaki kami Asadullah, saifullah,
Tokoh kami ramai tak terkira,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya menunduk lemah,
Tokoh kami sedikit sekali,
Ramainya boneka Yahudi.

Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya tenang hati,
Lelaki kami menjaga, melindungi,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mahu cabut lari,
Lelaki khianat, perogol bersiri.

Dulu,
Bila seorang wanita teraniaya,
Sepasukan kuda putih membela,
Al-Mu'tasim kebanggaan wanita,
Kini,
Ribuan wanita suci dipenjara,
Fatimah diperkosa minta dibela,
Lelaki tunduk tak bertenaga.

Dulu,
Bila wanita dibawah jagaannya,
Lelaki memagari sehabis daya,
Tiada siapa berani menggoda.
Kini,
Bila wanita dibawah jagaannya,
Lelaki tak kisah auratnya terbuka,
Wanitanya dibiar bebas, binasa.

Dulu,
Lelaki menggadai harta dan nyawa,
Untuk mengangkat kemuliaan agama,
Kini,
Lelaki menggadai ketinggian agama,
Demi nafsu, dunia dan seisinya,

Dulu,
Lelaki bermatian mencipta sejarah,
Kental berjihad, tekun berdakwah,
Kini,
Lelaki hanya menyanjungi sejarah,
Diri bermalasan tenaga tak dikerah.

Dulu,
Lelaki memperjuangkan deen dan ummah,
AL-Farouq, Zunurain mati terbunuh,
Kini,
Lelaki memperjuangkan diri dan kroninya,
Hingga sanggup membunuh.

Dulu,
Lelaki bersatu menghadapi musuh,
Angkatannya kuat dan teguh,
Kini,
Lelakinya berpuak dan berpecah,
Sesame sendiri saling bertelingkah.

Kembalilah lelakiku,
Pada kelakianmu,
Kami rindu lelaki dulu,
Acuan madrasah rasul.

Nukilan:
Fatimah Syarha Mohd Noordin (Syabab Musafir Kasih, 2008)



Sumber: http://ipuisi.com/puisi-lelaki

Cerpen: Jom revolusi!

(1)

DAMAK terus menatap skrin TV. Tidak henti Aljazeera membawa lintas langsung dari Kaherah, Tunis, Tripoli, Benghazi, Sanaa, Manama, Teheran, Khartoum, Amman, Muscat berselang-seli pendapat dan perbahasan. Hangat mengenai apa yang sedang menjadi gelombang yang lebih hebat daripada tsunami 2004 lalu.

Dunia sedang mengalami perubahan yang tidak terfikir menjelang 2011. Semuanya adalah sebahagian daripada evolusi dan ulangan daripada sejarah kemanusiaan. Semuanya telah dijanjikan dalam al-Quran dan hadis kalau rajin untuk mengkaji dan memahami yang semuanya menuju ke hari terakhir kehidupan sementara.

Deringan telefon memeranjatkan dalam perhatian sepenuhnya pada peristiwa dan sejarah yang berlaku di hadapan mata. Kejatuhan Zainal Abidin Ali dan Hosni Mubarak merebak dan menjalar.

"Baik tangguhkan kunjungan ke Benghazi, keadaan nampaknya semakin gawat, empat puluh orang terbunuh!"

Suara Dr Fawzy bergetar di hujung sana, di Benghazi, kota kedua terbesar Libya. Damak dijadualkan untuk membuat presentasi produk autopsi digital untuk khidmat forensik di hospital. Sesuatu yang amat diperlukan ketika itu, ketika bilangan yang terbunuh terus meningkat dan pembedahan forensik diperlukan.

"Saya belum tidur selama dua hari ini, terlalu banyak mayat yang mesti diselanggarakan!"

Kata-kata itu menyebabkan Damak memandang jauh ke arah kota raya Dubai yang terus bergerak lancar, bisnes seperti biasa. Pengangihan sumber hasil negara kepada rakyat menyebabkan demokrasi tidak selalu perlu, selagi perut semua orang tidak kelaparan dan ada tempat untuk berlindung daripada hujan dan panas.

"Robot saya akan berbincang dengan robot kamu untuk presentasi berikutnya apabila keadaan pulih seperti biasa, tetapi penyelesaian autopsi digital amat yang menepati syariah berfaedah untuk ummah terutama dalam keadaan perang dan kekacauan seperti ini. Kita tetap meneruskan agenda ini!"

Dr Fawzy sempat berjenaka, topik kegemarannya mengenai keperluan robot untuk melakukan kerja-kerja manusia. Termasuk menggantikan manusia untuk kerja-kerja monotonous, berbahaya sertai jurujual, mekanik, pengesan bom dan membedah mayat. Memerdekakan, liberasikan manusia untuk menikmati kehidupan lebih baik tanpa bekerja keras!

Malah Damak sama berminat dengan teknologi `telemesyuarat maya' yang tidak memerlukan dia terbang ke sana sini, hanya menghantar robot. Apalagi dikatakan dari sebuah penyelidikan, hampir 500 bilion dolar dibelanjakan untuk penerbangan urusan bisnes setiap tahun. Itu tidak termasuk kos minyak, pengeluaran sisa karbon dioksid, berjam-jam dalam kesesakan trafik dan meninggalkan keluarga berhari-hari.

Tiba-tiba deringan telefon mengejutkan sekali lagi, setelah terpaku menonton siaran berita Al-Jazeera menayangkan ratusan ribu bersolat Jumaat di Medan Tahrir bersama-sama Dr Yusuf al-Qardhawi. Meraikan liberasasi sebuah negara.

"Jangan lupa, dalam keadaan biasa pun permintaan dan penggunaan sarung tangan untuk perubatan pun tidak mencukupi, apalagi dalam perang dan kekacauan!"

Kata-kata Dr Fazwy itu mengulang perbincangan mengenai peluang bisnes yang memutarkan kitaran idea di benak fikiran. Sesuatu yang menganjak minda dalam jiwa, seakan sama bergolak dengan para warga yang keluar di jalan-jalan raya memprostes untuk mengembalikan hak-hak mereka di negara sendiri.

(2)

"KAMU anak penoreh getah?"

Pertanyaan Dr Fawzy bergema di ruang hotel mewah Abu Dhabi.

Pertemuan di sebuah konvensyen forensik yang memulakan satu persahabatan, hanya selang beberapa hari sebelum warga Tunisia keluar memprotes dan mengubah satu landskap politik sejagat. Ketika tiada siapa menduga yang percubaan membunuh diri seorang pemuda Tunisia membawa revolusi melalui siber dan menjatuhkan satu rejim diktator.

Damak mengangguk dan bercerita. Sebagai anak penoreh yang mengharung pelbagai kemanisan dan kepahitan bersama satu keluarga yang pernah hidup di bawah taraf kemiskinan, masa lalu sering membawa nostalgia, kalau tidak memberi semangat. Sesuatu yang tidak mungkin kembali dilalui oleh anak- anaknya sendiri. Anak-anak kelahiran pelbagai negara tumpangan sebagai ekspatriat yang mungkin tidak tahu pokok getah berasal dari Amazon, sebelum dibawa ke Tanah Melayu, walau menggunakan khidmat laman web Amazon setiap hari.

Damak tidak lupa catatan sejarah yang getah dibawa masuk pada 1877 setelah Sir Henry Wickham pada 1876 mengumpul dan mengirim 70,000 biji getah liar dari Brazil ke Kebun Kew, London. Begitulah Tuhan menghantar rahmat dan rezeki dalam keadaan tidak terduga.

"Harga getah semakin naik kerana permintaan tinggi, termasuk untuk pengeluaran sarung tangan perubatan. Kamu tahu tahun ini saja dunia memerlukan sekurang-kurangnya 155 bilion sarung tangan getah?," katanya.

Suasana di luar persidangan, seperti biasa, lebih menarik kerana peluang beramah mesra dan berkenalan dengan pelbagai pakar forensik yang mahu mengalihkan tumpuan daripada bau dan pelbagai keadaan mayat. Berdiskusi mengenai apa saja, terutama peluang lain di luar skop bidang kerjaya yang semakin kekurangan tenaga kerana tidak glamor bekerja membedah mayat. Lebih baik membedah orang hidup yang mahu jadi cantik secara kosmetik dengan menambah silikon dan pengawet muda seperti Botox. Lebih membawa pulangan lumayan dan menambahkan kekayaan.

Damak teringat pada arwah ayah dan ibunya, dua penoreh getah yang telah membesarkan kelima adik-beradiknya. Sememangnya pokok getah, susu getah, asid formik, mesin penggelek, rumah asap, getah asap keping berbunga, lateks menjadi sebahagian dari kehidupan yang membawa dia jauh ke bumi Arab. Membawa seorang anak kampung pedalaman Pahang ke serata dunia.

Keringat penoreh getah yang sama memakmurkan negara yang baru merdeka, walau mereka pada ketika itu berkorban dalam kemiskinan. Rezeki dari getah menjadikan adik beradik Damak lebih berjaya dalam pelbagai bidang, malangnya tiada di antara mereka yang mempunyai apa-apa kaitan dengan pokok getah lagi. Pengusaha getah yang berjaya bermula daripada orang Barat kepada bangsa lain di Tanah Melayu. Dunia pokok getah menjadi memori yang semakin menjauh di arkib minda.

"Untung kalaulah pokok getah boleh ditanam di Libya!"

Mereka ketawa. Begitulah ketentuan Ilahi, Tanah Melayu diberikan rahmat alam dan kemakmuran tidak terhingga. Boleh dikatakan benih apa saja boleh tumbuh subur. Selain kehijauan yang membawa warna ketenangan dan hutan- hutan yang membawa hujan sebagai pusingan proses semula jadi.

"Tidak berminat untuk usahakan penanaman pokok getah? Kamu tentu tahu, negara-negara Arab yang ketandusan tanah subur membeli jutaan hektar tanah seluruh dunia untuk pertanian, memastikan bekalan rakyat mereka cukup dan harga di paras kemampuan?"

Pertanyaan Dr Fawzy menambahkan nostalgia pada masa lalu dan tanah air buat Damak. Sudah dua puluh tahun menjadi ekspatriat merata planet dan dalam usia semakin menuju kepersaraan, sering timbul keinginan untuk kembali seperti masa lalu. Mendiami sebuah desa terpencil untuk kembali berbakti pada tanah dan alam. Meneruskan sisa-sisa nafas beribadah. Malah tanah pusaka yang masih ada pun sudah lama dia tidak menjenguk, terbiar oleh kesibukan adik-beradik yang telah berjaya dari segi pendidikan dan materialisme. Prioriti kehidupan juga berlainan. Tiada jalan kembali.

"Pertanian selamanya penting kerana manusia sentiasa memerlukan makanan dan tanaman seperti pokok getah, pokok kelapa sawit menghasilkan produk yang diperlukan dalam pelbagai bidang dan peralatan. Bayangkan tanpa getah, kereta tidak boleh digunakan tanpa tayar. Dan sekarang, bekalan sarung tangan getah untuk perubatan tidak cukup dengan permintaan tinggi seluruh dunia!"

"Kalau buka kilang pengeluaran sarung tangan di Libya?"

"Boleh saja, tetapi setiap kilang perlukan bahan mentah, iaitu getah! Dan getah hanya dari pokok getah, yang tiruan tidak dapat ganti yang asli, yang original! Cuma harus ingat yang tidak mudah bersaing dengan syarikat Malaysia sendiri yang sudah lama beroperasi dan memonopoli pasaran!"

"Kalau tidak boleh tanam pokok getah di tanah gurun, kita cuba di Afrika yang cuaca dan iklim sesuai. Seperti ada syarikat Malaysia lakukan di Indonesia. Boleh bekalkan getah kepada kilang kerana daripada permintaan global melonjak sehingga 10 peratus setiap tahun, walaupun pemain industri merudum. Libya boleh jadi hab untuk Afrika dan Eropah!"

Dr Fawzy tersenyum menggeleng kepala.

"Kamu seolah-olah tidak mahu pulang ke tanah air sendiri ...!"

Mereka tertawa, sejak perbualan di konvensyen forensik itu, keinginan Damak untuk meneroka bumi utara Afrika terutama Libya terus melonjak. Mungkin kerana kesan menonton filem Umar Mukhtar, Lion of the Desert yang begitu berkesan.

"Jangan lupa, Libya masih diperintah oleh seorang manusia bernama Muammar Ghadafi sejak 43 tahun lalu!"

Suara Dr Fawzy sedikit perlahan.

"Dan dia bukan Omar Mukhtar!"

(3)

CUTI Tahun Baru Cina di Malaysia yang panjang memungkinkan Jamak, adik bongsu Damak bersama- sama keluarga datang bercuti di Dubai. Pertama kali sejak Damak berpindah dari Jeddah. Mahu melancong melihat kota raya Dubai yang sedang terkenal dengan Burj Khalifa, menara tertinggi di dunia.

"Inilah hasil pendapatan sebulan menoreh getah!"

Damak terkejut mendengar kata-kata Jamak yang merancang membawa anak- anaknya main ski di gurun Dubai. Rahah, isterinya sudah merancang bersama Gina, isteri pula Damak untuk membeli-belah sempena Festival Membeli-Belah dan mengunjung pelbagai kompleks termasuk Kampung Global. Kampung di gurun yang mempunyai 31 pavilion negara, termasuk Malaysia. Walaupun pavilion Malaysia hanya ada sedikit produk dari Malaysia dan dipenuhi gerai-gerai barangan China.

"Bila pula kau menjadi penoreh getah?"

Jamak ketawa. Setahu Damak, adik yang berusia 45 tahun itu adalah pegawai tinggi kerajaan berpangkat pengarah dan dikatakan berpotensi mengetuai sebuah jabatan Persekutuan. Sedang menyambung pengajian pada peringkat kedoktoran di sebuah universiti tempatan.

"Baru lima bulan, ambil cuti tanpa gaji untuk sambung belajar, sambil itu jadi penoreh getah sambilan untuk pendapatan sampingan. Kerja tiga kali seminggu di kawasan ladang yang dipajak. Bukan susah, kecil-kecil dulu pun selalu menoreh dengan arwah ayah dan ibu!"

"Kamu tahu dengan kenaikan harga getah sekarang, pendapatan aku melebihi gaji sebagai pengarah jabatan kerajaan. Itupun kerja tiga kali seminggu. Boleh dapat sekurang-kurangnya RM10,000 bersih sebulan. Malah lebih daripada itu, kalau dikira daripada hasil memajak ladang lain, dengan mengupah orang Bangla dan Indonesia!"

Damak teruja mendengar katakata Jamak yang menggamit siri diskusi e-mel, sembang dalam talian dan SMS dengan Dr Fawzy. Bak kata seorang kawan yang selalu bersikap positif dalam apa saja keadaan, `sesuatu yang terjadi ada sebab musabab dan ada hikmahnya!'.

"Lagipun sekarang banyak subsidi, geran dan pinjaman untuk mengusahakan pertanian. Ramai yang nampaknya tidak berselera untuk jadi petani, penoreh, peladang, pekebun. Sedangkan di banyak negara seperti Kanada, Amerika, Australia, New Zealand, ramai jutawan tani!"

Siapa sangka, anak penoreh getah yang dulu mahu keluar daripada kepompong pokok getah, berjaya dalam akademik, dengan kerjaya yang boleh sampai ke kemuncak dalam organisasi kerajaan, boleh kembali turun menoreh.

"Silap-silap aku terus ambil pencen awal walau sudah ada PhD. Mahu usahakan kembali penanaman pokok getah sambil berehat daripada pelbagai politik pejabat yang semakin menambahkan cepat mendapat sakit jantung dan penyakit kronik lain. Kau tahulah budaya dan perangai orang kita yang juga dipenuhi PhD, perasaan hasad dengki, tidak boleh tengok ada orang lebih berjaya kerana berkebolehan, bukan kerana ampu dan bodek!"

"Bagaimana dengan Rahah? Dia tidak malukah suaminya jadi penoreh getah?"

Jamak ketawa. Sememangnya Damak kurang senang dengan isteri Jamak yang suka bermewahan, seolah-olah seorang datin. Stail `queen control' yang menonjolkan kekuasaan dalam segala hal rumah tangga, sehingga pelbagai cerita mengenai kecemburuan Rahah di kalangan adik-beradik.

"Malu? Dengan pendapatan yang lebih daripada jadi jawatan pengarah dan banyak masa di rumah daripada habiskan masa bekerja di luar. Dia sudah terlalu tua untuk berfikiran negatif. Malah dengan pendapatan yang bertambah, dia bimbang pula kalau-kalau dimadukan!"

Keduanya ketawa. Kalimat tipikal untuk lelaki normal walau sekadar jenaka.

Ketawa yang mengundang perhatian Rahah dan Gina di dapur. Kedua-duanya muncul di ruang tamu. Segera Damak dan Jamak menyambung cerita mengenai getah.

"Abang tahu ke penoreh getah dan pelajar Phd ini bakal bergelar Datuk?"

Gina bertanya ke arah Damak. Manakala Rahah menunjukkan wajah berseri, sinar kebanggaan dan riak.

"Siapa anak kau yang dah kahwin? Bukan si Mazidah dan Norizan masih di universiti?"

Tanya Damak dengan wajah terkejut.

"Apalah abang ini, Jamak baharu dapat surat penganugerahan pingat membawa gelaran Datuk!"

Malam itu, Damak semakin dalam nostalgia. Jauh ke ruang masa lalu sebagai penoreh getah setiap pagi sebelum ke sekolah. Dan menerpa wajah- wajah kedua arwah ayah dan ibunya apabila hujan turun berhari-hari, dapur tidak berasap, bersama-sama bertimbunnya hutang di kedai runcit Cina.

(4)

KHABAR angin mengenai Hosni Mubarak berada di Abu Dhabi tersebar luas, walau ada penafian Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Sesuatu yang beriya-iya dibicarakan oleh Dr Fawzy sebaik tiba di KLIA. Baginya, Muammar Ghaddafi yang masih bertahan akan mengikut jejak yang sama, hanya masa menentukan.

Damak memandu perlahan menuju ke hotel penginapan berhampiran KLCC. Demonstrasi penggunaan autopsi digital yang dibangunkan oleh sebuah syarikat Malaysia akan dibuat di HKL. Dr Fawzy mahu melihat secara langsung sebelum membuat keputusan sama ada mahu membuat tindakan selanjutnya. Walau dia ada tujuan lain yang lebih prioriti untuk pertama kali menjejak Semenanjung Tanah Melayu.

"Mana pokok getah?"

Dr Fawzy memandang keliling dari dalam kereta. Damak ketawa.

"Pokok getah di ladang, sepanjang lebuh raya ini, tiada lagi ladang getah. Hanya pembangunan hartanah!"

"Kena buat revolusi!"

Sekali lagi Damak ketawa. Deretan revolusi yang sedang berlaku di Tanah Arab seakan menguasai pemikiran Dr Fawzy. Dalam catatan sejarah, revolusi memungkinkan kehidupan yang lebih baik, walau ada pertumpahan darah dan kehilangan nyawa. Mereka yang berkorban demi kesejahteraan dunia akan terus mengulang kitaran revolusi.

"Ya! Revolusi Hijau!"

Damak terhenti daripada ketawa.

"Kamu tahu, saya sempat melihat statistik harga getah, 2005 antara RM2.50 ke RM3.00, 2006 ke paras RM3.00, 2006 dan 2007, sekitar RM4.00, tahun 2008 ke RM5.00, tahun 2009 turun ke RM4.00 dan tahun lalu, ke paras RM10!"

Damak terus mendengar. Semua maklumat itu pernah diberitahu oleh Jamak yang sedang menanti di hotel. Dunia juga beralih ke arah `kehidupan hijau' untuk memastikan planet tanpa bencana seperti tsunami, kepupusan ozon, selain bencana dalam bentuk penyakit berwabak.

"Menurut laporan mereka yang terbabit dengan perladangan kayu getah pula, pulangan keuntungan daripada pelaburan kayu getah saja adalah sekitar 12.8 peratus. Dengan kombinasi pengeluaran lateks dalam kitaran 15 tahun, pulangannya 13.7 peratus yang sebanding dengan minyak kelapa sawit, iaitu 15.6 peratus! Malah industri kayu getah untuk perabot menghampiri RM7 bilion tahun lalu!"

Suara Dr Fawzy yang begitu teruja menambahkan minat Damak yang sama-sama teruja sejak kembali menjenguk tanah pusaka bersama-sama `Datuk' Jamak. Suara bergetar seorang ahli forensik yang mahu keluar dari Libya dan keluar dari monotonous ruang rumah mayat.

"Apalagi dengan industri herba dan produk halal. Lantas saya sudah tekad bawa duit simpanan yang ada untuk pelaburan dalam ladang pokok getah dan kilang sarung tangan getah, selain perabot kayu getah. Kamu tahu inilah revolusi dalam diri untuk evolusi alam. Revolusi Hijau demi kemanusiaan, walau ada unsur kapitalis!"

Damak mengangguk, tersenyum sambil lintasan imej arwah ayah dan ibu merentas setiap papan tanda dan papan iklan di lebuh raya. Wajah-wajah kesayangan tersenyum bersama sentuhan kasih sayang dan kata-kata perangsang pada masa lalu yang bergema. Merentas suara-suara protes marhaen dari Kaherah, Tunis, Tripoli, Benghazi, Sanaa, Manama, Teheran, Khartoum, Amman, Muscat. Bertukar semangat membara di tanah air yang semakin terbentang menghijau di pandangan, Damak tekad untuk kembali menetap ke tanah air. Kembali sebagai anak berbudi pada tanah dan alam. Berbakti pada generasi yang sudah hampir terlepas dari radar wawasan.

Damak pun menjerit sekuat hati, mengejutkan Dr Fawzy, lelaki Libya yang terpinga-pinga sebaik kereta memasuki kawasan tol.

"Ya! Jom revolusi!"

Oleh Fudzail


Info Pengarang

FUDZAIL, nama pena bagi Mohd Fudzail Mohd Nor, berkelulusan Sains Komputer dan Matematik dari New Zealand, pernah menjadi pengurus Teknologi Maklumat (IT) di TV3, juga ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak 2000. Terbabit dalam pembinaan projek mega seperti Dubai Internet City dan Palm Jumeirah. Kini pengarah beberapa syarikat antarabangsa dan pengurus Yusuf Islam, selain sukarelawan yang pernah ke Gaza, Palestin. Pernah memenangi hadiah sastera Utusan, Johor dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/7. Antologi puisi Waikato diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP 2001), Kumpulan Cerpen Dotkomania (DBP 2009) dan Trilogi Aotearoa (Karangkraf 2010). Boleh dihubungi melalui e-mel fudzail@gmail.com dan blog 1426.Blogspot.com.

Jom revolusi!
Publication: BM
Date of publication: Feb 27, 2011
Section heading: BM Dua
Page number: 020
Byline / Author: Oleh Fudzail

Cerpen: Biar bulan menjadi saksi

Prolog
KATA orang, kehidupan ini beginilah. Kita sentiasa maju ke hadapan dan sememangnya fitrah untuk kita meningkat dalam serba-serbi. Apabila ia adalah fitrah, maka hendak atau tidak, tak dapatlah pula kita hendak menghalang. Kemajuan ini ada yang kalau di bawah, ia meningkat makin naik ke atas hingga membelah langit tidak terjulang. Kalau di belakang, ia ke hadapan pula agar sama-sama berdiri tinggi tiada beza, duduk tidaklah terlalu rendah hendaknya. Kata-kata orang ini tidak dapat dipastikan daripada mana asal usul dan siapa si penuturnya. Yang pasti, penduduk kampung semakin dikonkritkan dengan seribu satu macam bukti akhir-akhir ini lalu menerimanya bulat-bulat.

Di Kampung Indah dalam Negeri Wujud, semuanya aman. Tiada perbalahan langsung. Jika ada sekalipun, hanyalah di bandar dan ia kes terpencil yang jarang dapat diketahui penduduk kampung. Sama ada dipencilkan atau gerakan itu sendiri merupakan haluan bawah tanah, cuba menyusup perlahan-lahan bagai angin lembut dalam halusnya membelai kemudian membadai ganas. Bukanlah sesuatu yang penting kerana seperti semalam dan malam semalam sebelumnya, penduduk kampung ini hidup aman harmoni dan lebih gembira endah tak endah sahaja. Hal ini sudah dipupuk oleh orang tua mereka sejak kecil lagi.

"Berdiamlah - Diam itu emas sedang hanya orang bodoh suka bicara kosong."

Tetapi Pak Tua sejak akhirakhir ini semakin susah pula hidup di kampung yang telah didudukinya dengan aman harmoni sejak kecil lagi. Semalam, khabarnya terjadi kenaikan yang baru. Kenaikan yang ditunggu. Tetapi dia sabar amat dan tahu benar. Semua ini tidak lain tidak bukan adalah demi kemajuan juga. Hal ini dia yakini dan tak akan mempersalahkan sesiapa walau sekelumit pun. Kerana memang inilah yang telah ditanam dalam minda seisi negeri sekian lamanya.

Pak Tua

SEBAGAI pesara nelayan yang pergi ke laut ketika embun baru hendak meluncur dan membulat di hujung rumput lewat Subuh setiap hari, dia sememangnya cukup terkesan dengan kenaikan minyak. Tidak kiralah sebanyak mana sekalipun. Jadi, pagi ini dia tekad untuk kembali ke laut. Gigi Pak Tua bergemelatak. Usai mandi dan mengambil wuduk, perlahan-lahan dia menghampar sejadah kusam ke lantai rumah papannya. Mak Tua masih tidur. Dia tidak mahu mengganggu lenanya mimpi yang mengalun kerana dia sayang benar pada Mak Tua.

Sebentar lagi bangunlah tu. Bisik hati kecilnya. Dia mengusap-usap kepala Mak Tua sesudah selesai zikir dan doa. Pergerakannya perlahan-lahan menuju ke dapur untuk menyediakan sarapan bagai seorang seniman memimpin simfoni sebuah kematian. Perlahan dan makmur. Walau klimaksnya agak sedikit terganggu tatkala Si Oren, kucing kampung yang dibela sekian lama, mencakar-cakar manja kakinya meminta.

"Oren, kesegalaanmu adalah makanan. Pagi, petang hingga malam meminta makanan. Sedangkan kesegalaanku ada dua. Akhirat dan dunia. Tetapi, dunia kini memperhambakanku jadi sepertimu." Orang tua itu mengeluh seraya memberi sedikit bahagian sarapannya kepada Oren. Luahan yang sudah terbeban lama tanpa ada siapa yang hendak mendengar lagi.

Rutin hariannya diteruskan. Walau terkedek-kedek, dia gagahi segala sisa yang ada untuk menarik bot. Selangkah demi selangkah. Demi sesuap nasi melangsungkan hayatnya dan Mak Tua. Berlayarlah dia di lautan.

Dalam bot, dia menyeka peluh yang merenik di wajah. Perjalanan ke lubuk ikan yang dia sudah arif benar tempatnya masih jauh. Boleh saja kalau dia mahu memukat ikan di tempat yang terdekat. Tetapi, Pak Tua ingin lebih habuan kerana dia juga perlukan kenaikan. Kenaikan yang menggembirakan. Dalam nyanyian kipas enjin bot yang menderu, Pak Tua dikhayalkan untuk teringat seorang demi seorang anaknya yang telah berjaya. Kini seorang demi seorang pula menghilang tanpa khabar melainkan Azman. Azman saja yang masih setia berbakti kepadanya. Meski bakti itu ditipiskan dengan pencapaian hidup Azman yang kelabu.

Bot Pak Tua semakin laju memancung setiap lapisan ombak yang cuba menerkam. Ternaik-naik muncung depan bot seperti hendak naik terus membelah langit biru lalu berubah menjadi maju. Mungkin bot aku pun hendak terikutikut fenomena semua hendak naik akhir-akhir ini. Getus Pak Tua. Baguslah, sebuah petanda baik.

Kesedapan yang dibuat-buat itu disakat pula oleh kumpulan ikan yang mewakili alam. Jahatnya menentang. Jarang benar hendak naik. Sebaliknya berlumba-lumba untuk menyorok di celah-celah karang, di balik pepasir putih dan air yang jernih. Adakah alam bersama-sama isinya menentang kenaikan? Pak Tua tidak terdaya hendak berfikir. Dia memang sudah benar- benar tua. Hal ini bertambah menarik bila mana bukan Pak Tua saja yang merungut. Beberapa minggu lalu, Seman, nelayan veteran seusianya juga berkata hal yang sama. Hasil tangkapan semakin berkurangan.

"Kesyukuran yang tinggi tingkatannya, akan membenarkan seorang hamba untuk ke syurga melalui pintunya sendiri." Tenang dan damailah mereka bila Lebai Aziz berkata begitu di surau kampung minggu lalu. Lenyap semua keraguan.

Dalam khayalnya itu, tanpa Pak Tua sedari, bot dinaiki secara beransur- ansur melemah. Belahnya terhadap ombak kejam tidak lagi tajam. Pergerakan semakin perlahan. Pak Tua terlupa. Dia tersilap percaturan.

Mak Tua

MAK Tua berjalan langkah demi langkah, cuba mengejar bunyi telefon yang laju berlari meninggalkan. Mata yang masih berkelip dipaksa untuk celik.

"Waalaikumussalam Man, lama benar kamu tak telefon. Ya, mak dan ayah sihat. Ayah tak ada, turun ke laut awal pagi tadi. Ada apa kamu tiba-tiba telefon?" Terus segar diri Mak Tua. Dia menarik kerusi plastik merah berhampiran untuk duduk kalau-kalau perbualannya berjela. Ah, perbualan dengan Azman manakan pernah pendek.

"Ya. Semua orang dah tahu pasal kenaikan. Semalam dalam berita ada mak tengok. Minyak masak, minyak wangi, minyak hitam, semuanya naik. Biasalah tu, bila naik maknanya negeri kita bertambah maju. Buat apa nak kecoh- kecoh."

"Ha? Sekarang kamu kerja jual cecair yang dapat mengurangkan penggunaan minyak? Terbukti berkesan dan jimat sehingga, er setengah peratus? Banyak ke tu?"

"Menarik Man, menarik. Kalau kamu boleh sampai tengah hari ni dan bagi kami benda tu, alangkah gembiranya. Elok sangatlah. Dah lama kamu tak pulang. Rindu nak jumpa." Hati Mak Tua dilambung-lambung perasaan gembira kerana akan dapat alat penjimatan minyak. Biarpun hanya setengah peratus, dia sudah mula beranganangan untuk merubah taraf hidupnya. Dia berkira- kira sama ada penjimatan yang berlaku akan membenarkan dia membeli barang kemas baru atau merubah status dirinya di kampung ini kelak.

"Apalah yang nak dikejarkan sangat. Balik saja esok hari. Senang. Boleh rasa dulu makan malam di rumah. Mak masak makanan kegemaran kamu."

"Hum, kalau macam tu tak apalah. Jaga pelanggan kamu elok-elok. Cari duit. Moga-moga nanti kamu hidup senang. Mak dan ayah selalu mendoakan kamu. Yang penting usaha. Ingat pesan mak, rezeki semuanya pemberian Allah Azzawajalla. Selebihnya kita tawakal. Rungut banyak-banyak pun tak elok. Jaga diri ya, Wassalam." Gagang telefon diletakkan.

Mak Tua bergegas ke kedai selepas bersiap ringkas. Cadangnya hendak beli barang sedikit, masak sedap-sedap. Maklum saja ada tetamu istimewa hendak bertandang.

Matahari sedikit mengganas. Bilah cahaya terbit di celahcelah daun menikam setiap yang berada di bumi, tidak ketinggalan tubuh Mak Tua. Habis lencun baju kurung yang digayakan dengan sehelai batik luntur. Tengah hari menyaksikan kampung ini sunyi tanpa bunyi, walau kicauan unggas sekalipun. Mak Tua berasa sebuah ketenangan menjalar.

"Esok awak hendak makan apa bangnya?" Mak Tua mengulang soalan sama setiap hari. Seleranya sudah lama dibunuh sejak berkahwin, lalu diabadikan dengan menjamah lauk kegemaran Pak Tua bersamasama. Kasih sayangnya tidak terhingga. Pak Tua pula seakan tidak mahu mengalah. Dua jiwa yang sudah bersatu, lalu dalam diam masih ada bicaranya, dalam bicara ada nakhodanya.

"Ikut suka kamulah. Ikan yang saya tangkap tu pun sedap. Jimat malah." Paha Mak Tua dicuit sambil mereka melihat drama dalam berita. Mesra walau sudah lama berkahwin.

Mak Tua menjejak realiti bila mana Kedai Runcit Haji Selamat kini terpacak depan mata. Usai membeli barang memasak, Mak Tua singgah ke kedai kopi. Hajatnya hendak melepas lelah. Penat benar. Tecungap-cungap. Tua tidak lagi membenarkan diri berjalan jauh.

Di kedai, yang ada hanya wanita. Lelaki hilang sama sekali kecuali sang pemilik kedai kopi. Mungkin mereka juga pergi mencari rezeki seperti diri Pak Tua. Mak Tua memilih tempat duduk di penjuru kedai. Mak Tua hairan melihat semua perempuan hanya memesan kopi O. Memang itu yang paling murah, tetapi apakah terdapatnya helah lain? Bencikan gula? Kencing manis menggila? Dia, seperti juga Pak Tua, tidak terdaya memikirkan lantas terus saja ikut sama memesan kopi O.

Hening dan kesenyapan yang mengapung tiba-tiba saja dipecahkan oleh sebuah jeritan. Gempar. Suara itu yang sering bersiponggang dan membelai penduduk kampung dengan ucapannya, sudah amat mereka kenal. Memang tidak salah lagi.

"Tolong! Tolong!!" Jeritannya bingit hingga menyakitkan telinga.

Beberapa perempuan bergegas keluar. Tidak kurang beberapa orang sibuk menjengukkan kepala, meninjau-ninjau kejadian yang mengejutkan seisi kedai. Lelaki berbaju Melayu itu berlari laju. Perempuan yang keluar, mengutip beberapa biji kerikil dan baling serentak, sekuat hati mereka kepada binatang yang sedang mengejar lelaki itu. Malang. Kaki lelaki itu terseliuh dek jalan kampung yang tidak rata. Tersungkur. Buruk benar. Dia dijilat-jilat oleh anjing hitam yang mengejarnya. Ekor anjing itu bergoyang beberapa kali, ke kiri dan kanan, ke bawah, ke atas. Gembira metah. Manja dan suka sama lelaki tersebut. Bagai turut tahu, lelaki itu orang penting yang disukai ramai di kampung Indah.

"Sudahlah Tuk Penghulu, yang penting Tuk Penghulu selamat." Kata seorang perempuan di situ memujuk setelah Tuk Penghulu kembali berdiri. Tok Penghulu mengarah pemilik kedai kopi memberi sedikit makanan kepada si anjing yang mungkin kelaparan sebenarnya. Kemudian Tok Penghulu sendiri memberi wang saku kepada perempuan-perempuan yang berada di kedai. Katanya, demi perbelanjaan yang semakin meningkat. Mak Tua beredar senyap- senyap dalam keriuhan orang ramai yang bersorak mengiringi Tok Penghulu. Sememangnya sejak azali, dia bencikan keramaian dan keriuhan.

Epilog

"MAN, kau baliklah. Ayah kamu memang selalu dekat Maghrib baru pulang. Silap-silap dia lajak terus hingga ke Isyak, singgah mana-mana bukannya diberitahu. Kamu ni nak jalan jauh, karang penat pula." Mak Tua seakan memaksa. Setelah dapat dan menyaksikan sendiri keberkesanan cecair yang dibawa, dia bertambah sayang pada Azman. Dia tidak mahu Azman bersusah- susah kerana dia dan Pak Tua. Dia kepingin benar melihat Azman berjaya seperti anak-anaknya yang lain. Biarlah dia pergi mengejar pelanggan dan kelihatan sedikit materialistik kerana hakikat sebenar adalah sebuah keperluan. Orang bisa memperkata apa saja.

"Tapi mak .."

"Tak ada tapi tapi lagi. Kamu naik kereta, singgahlah dulu surau kampung, mana tahu ayah di situ. Kalau tak ada, terus saja balik." Pantas Mak Tua mencelah. Senja meremang terang dalam jingga yang fana. Perbualan dua beranak di tangga itu sambil angin yang meniup tersipu malu berakhir sayu. Lama benar mereka tidak berjumpa, tetapi diakhiri tanpa perjumpaan yang lengkap pula. Semuanya dalam terpaksa. Pemergian Azman dilambai sama pokok kelapa yang ikut menunduk.

Malam menyelimut alam. Di tangga, dalam Kampung Indah yang semakin menggelap, bulan menjadi saksi kepada Mak Tua yang masih setia menunggu kepulangan Pak Tua yang masih juga tidak kunjung tiba sejak Azman pulang petang tadi. Bulan membulat sedang mata Mak Tua mulai terkatup. Gelap.

Oleh Amirul Hamudin


Info

AMIRUL Hamudin, pendatang baru dalam dunia penulisan kreatif tanah air adalah peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009 dan aktif dalam grup karyawan luar negara (GKLN), kini menuntut di University College of Dublin. Karyanya mendapat tempat dalam Berita Harian, Berita Minggu dan Dewan Siswa.

Biar bulan menjadi saksi
Publication: BM
Date of publication: Mar 6, 2011
Section heading: BM Dua
Author: Oleh Amirul Hamudin



(END)

Pantun 3R (Reduce,Reuse dan Recyle)

reuse reduce recycle Pantun 3R (Reduce,Reuse dan Recyle)

Pantun 3R (Reduce,Reuse dan Recyle)

Salam sejahtera salam istimewa,
Pembuka tirai pelbagai bicara,
’3R’ tema utama,
Reduce,Reuse dan Recycle itulah dia.

Pergi temuduga tidak terima,
Sedih dan hampa di dalam hati,
Jagalah kita akan alam semesta,
Biar nanti hidup harmoni.

Membeli belah dipasar raya,
Kurangkan perbelanjaan ikut nisbahnya,
Barangan terpakai boleh diguna,
Kitar semula itulah langkahnya.

Bunga seroja kembang pagi,
Bunga dedalu tumbuh merata,
Sifat membazir merugikan diri,
Guna semula matlamat kita.

Kayu cengal kayu jati,
Dibuat perabot tahan lama,
Tanam dalam hati muhasabahkan diri,
Kurangkan penggunaan elektrik dalam kehidupan kita.

Sesat dihutan tanpa hala tuju,
Cari arah mata angin guna kompas,
Mari gunakan matlamat baru,
Sisa makanan jadikanlah kompos.

Sungai Rajang letaknya di Sarawak,
Sungai yang terpanjang di negara Malaysia,
Bersamalah kita kurangkan penggunaan minyak,
Agar nanti hidup bahagia.

Mangsa banjir mangsa gempa bumi,
Bencana melanda alam semesta,
Pakaian terpakai dermalah seikhlas hati,
Esok lusa niat baik dapat balasannya.

Burung merpati burung belatuk,
Berbeza cara kehidupannya,
Kurang mengotori kuranglah habuk ,
Hidup kita bahagia akhirnya.

Nukilan:
Umai Fiara
URL : http://www.humfakersofareality.blogspot.com



Sumber: http://www.ipuisi.com/pantun-3r-reducereuse-dan-recyle

Koleksi Pantun Nasihat Untuk Adik-Adikku

ch00009 Koleksi Pantun Nasihat Untuk Adik Adikku

Pergi ke kedai membeli pahat,
Pahat diletak di atas lori;
Janganlah kita membuat jahat,
Kawan benci kawan lari.

Pagi-pagi pergi perigi,
Ambil air untuk mandi;
Jangan kita menyombong diri,
Ke mana sahaja akan dibenci.

Pergi ke kilang mengambil tong,
Tong dibawa menaiki lori;
Jangan kita bercakap bohong,
Jika besar menjadi pencuri.

Pak Ali membeli tebu,
Tebu dijual si anak Cina;
Jangan kita menderhakai ibu,
Nanti kelak hidup merana.

Jika beli buku baru,
Mesti dibaca setiap hari;
Jika melawan cakap guru,
Pelajaran kita tak akan diberkati.

Sayang Cik Timah membawa bekal,
Bekal dibawa nasi kerabu;
Hidup jangan nakal-nakal,
Kelak akan di marahi ibu.



Sumber: http://ipuisi.com/koleksi-pantun-nasihat-untuk-adik-adikku

Kata Pinjaman

KATA PINJAMAN

FAKTOR PEMINJAMAN KATA
Membentuk istilah-istilah baru – menepati kehendak pengisian masa & keadaan ‡ Perkembangan dalam perniagaan & perdagangan ‡ Faktor psikologi – masyarakat penutur akan meminjam bahasa yang dianggap lebih tinggi tarafnya daripada bahasa ibunda sendiri. ‡ Memantapkan struktur bahasa – bahasa tersebut akan terus berkembang dan hidup

KAEDAH PEMINJAMAN
Peminjaman penterjemahan dilakukan dengan mengambil makna atau konsep perkataan asing itu kemudian diberi padanannya dalam perkataan Melayu. Contoh : litar pintas ± short circuit ‡ Jika perkataan bahasa asing itu tiada padanan maknanya, peminjaman terus dilakukan – penyesuaian ejaan dan sebutan sesuatu perkataan di dalam bahasa Melayu. Contoh : psikologi – psychology

BAHASA SANSKRIT
Dibawa oleh pedagang India yang berdagang di Kepulauan Melayu. Juga disebarkan oleh sami atau pendeta agama. ‡ Pengaruh bahasa ini juga meresap ke dalam bahasa Melayu menerusi dua epik hindu – Mahabrata dan Ramayana ‡ Aspek- aspek bahasa Melayu yang dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit ialah kosa kata, imbuhan dan sistem bunyi

CONTOH KATA PINJAMAN BAHASA SANSKRIT
Pembelajaran Sifat dan keadaan Tubuh manusia Waktu Kekeluargaan Tumbuhan Agama dan falsafah Istilah abstrak Alam semulajadi : guru, bahasa, bicara, kata : cinta, duka, setia, merdu : bahu, sendi, kepala, lidah : hari, purnama, senja, tadi : suami, isteri, janda, saudara : melati, kenanga, seroja, teratai : dewa, dosa, pahala, dewata : asmara, bahaya, bencana : bayu, cahaya, suria, bumi

BAHASA ARAB
Meresap ke dalam bahasa Melayu dengan kedatangan Islam ‡ Pengaruh bahasa Arab dan Islam memartabatkan bahasa Melayu sehingga mencapai status bahasa ilmu ‡ Pengaruh bahasa Arab yang terpenting dalam bahasa Melayu ialah terciptanya aksara Jawi yang menggunakan abjad Arab dan enam abjad tambahan yang dicipta oleh orang Melayu sendiri ‡ Aspek- aspek bahasa Melayu yang dipengaruhi oleh bahasa Arab ialah kosa kata, struktur ayat dan sistem bunyi

CONTOH KATA PINJAMAN BAHASA ARAB
Agama Ilmu Perasaan Hukuman Adat Benda/kejadian : doa, kiblat, mufti, tauhid : ayat, hikayat, kalam, kamus : insaf, ikhlas, niat, nasihat : batal, wajib, makruh, sah : nikah, sedekah, musafir, waris : nur, wujud, insan, jasad

BAHASA PARSI
Pengaruh bahasa Parsi selalunya dikaitkan dengan pengaruh Islam ‡ Peresapan kosa kata bahasa Parsi dikatakan berlaku sezaman dengan masuknya unsur-unsur bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu ‡ Pengaruh bahasa Parsi lebih bertumpu dalam lapangan kesusasteraan Melayu lama

CONTOH KATA PINJAMAN BAHASA PARSI
bandar, dewan, kahwin, kelasi, kenduri, medan, piala, nobat, pasar, nakhoda, saudagar, pahlawan, jam, serunai, syahbandar ‡ Imbuhan yang dipinjam daripada bahasa Parsi ialah awalan bi- (yang membawa erti tidak) Contoh : biadap – tidak beradap bilazim – tidak lazim

BAHASA JAWA
Pengaruh bahasa Jawa menjadi dominan pada zaman kerajaan Majapahit ‡ Penyebaran bahasa Jawa berlaku melalui : – cerita-cerita panji – penghijrahan masyarakat Jawa ke Kepulauan Melayu – tamadun orang Jawa yang amat tinggi sehingga mampu membentuk keperibadian tersendiri

CONTOH KATA PINJAMAN BAHASA JAWA
adegan, lulur, lumayan, prihatin, pinggir, gamelan, calon, cerdas, wali, waras, lakon, lapor, keruan, lolos, matang, lumayan, perabot, peria, ningsun, lontong, lempeng

BAHASA INGGERIS
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan bahasa Inggeris begitu berpengaruh dalam bahasa Melayu. Antaranya, pendidikan Inggeris yang meningkatkan bilangan penutur bahasa Inggeris dalam kalangan orang Melayu ‡ Peranan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa ‡ Penyerapan istilah daripada bahasa Inggeris untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa moden ‡ Pengaruh bahasa Inggeris dapat dilihat daripada aspek kosa kata, imbuhan, bunyi, tulisan dan nahu

CONTOH KATA PINJAMAN BAHASA INGGERIS
akaun, arkitek, elektronik, faktor, filem, gobenor, kabinet, hidrogen, insurans, motosikal, parlimen, stesen, teknologi, paip, sains, kamera, radio, satelit, virus, unit, unik, zoo

BAHASA PORTUGIS
Orang Portugis mendudukI Melaka selama satu abad sejak dari tahun 1511 ‡ Pada zaman itu orang Portugis hanya berminat untuk menguasai perniagaan di antara India dan Nusantara namun kuasanya tidak kuat untuk memerintah seluruh dunia Melayu ‡ Oleh itu, pengaruhnya kepada masyarakat Melayu tidak sampai ke jiwa bangsa dan ia hanya membawa masuk barang dan ilmu dari Eropah sebagai perkara baru

CONTOH KATA PINJAMAN BAHASA PORTUGIS
almari, bendera, meja, boneka, garpu, keju, kemeja, sepatu, gereja, paderi, meriam, peluru, minggu, picu, roda, bomba

BAHASA BELANDA
Orang Belanda menjajah Indonesia setelah mereka meninggalkan Melaka pada 1924 Masihi. ‡ Oleh itu, orang Belanda telah memberi perkataannya kepada bahasa Indonesia dan sifatnya digolongkan dalam bidang yang hampir sama dengan perkataan dari bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu. ‡ Kebanyakan kata pinjaman daripada bahasa Belanda dalam Kamus Dewan merupakan kata Belanda yang dipinjam melalui bahasa Indonesia dan perkataan itu dilabel IB(Indonesia Belanda)

CONTOH KATA PINJAMAN BAHASA BELANDA
balkoni, buncis, dansa, laci, omgkos, rokok, senapang, pas, permisi, komentar, kamar, wortel, kantor, korupsi, kronis, kursus

BAHASA CINA & TAMIL
Kedudukan Kepulauan Melayu berfungsi sebagai pelabuhan transit antarabangsa di antara India dan China sejak masa lampau ‡ Pada abad ke-19 : orang Cina dan India dibawa masuk ke Tanah Melayu – tenaga buruh di kawasan lombong dan estet ‡ Perkataan yang berasal daripada bahasa Cina dan Tamil telah dibawa oleh imigran. Unsur-unsur perkataan yang tergolong dalam kategori ini boleh ditemui dalam bahasa Melayu sekarang

CONTOH KATA PINJAMAN BAHASA CINA
Budaya ‡ Peralatan tanglung ‡ Panggilan ‡ Makanan tauhu ‡ Barangan : kung fu : sempoa, camca, cawan, : abah, amoi, tauke, singse : suun, ebi, kuaci, lobak, : gincu, ceongsam, koyok, bak

CONTOH KATA PINJAMAN BAHASA TAMIL
candi, nilam, nira, sami, seloka, tali, pondan, pinggan, putu, ragam, mempelai, kuil, ketumbar, jodoh, kari, gurindam

Sumber: http://www.ipuisi.com

Pantun Mengenang Nasib dan maksudnya

Pantun Mengenang Nasib dan maksudnya

Pantun Mengenang Nasib

Pisau raut hilang di rimba,
Pakaian anak raja di Juddah;
Karam di laut boleh ditimba,
Karam di hati bilakah sudah.

Maksud: Banyak masalah yang mampu kita hadapi tetapi masalah PERCINTAAN sukar untuk diubati.

Kusangka nanas di tengah padang,
Kirannya pandan yang berduri;
Kusangka panas sampai ke ptang,
Kiranya hujan di tengah hari.

Maksud : Harapan untuk kekal bahagia tidak tercapai

Buah berangan masaknya merah,
Kelekati dalam perahu;
Luka di tangan nampak berdarah,
Luka di hati siapa tahu

Maksud: Kedukaan dan Kekecewaan yang kita alami tidak akan dirasai oleh orang lain.

Apa diharap kepada tudung,
Tudung saji terendak Bentan;
Apa diharap kepada untung,
Untung nasib permainan badan.

Maksud : Suka dan duka dalam kehidupan akan silih berganti mengikut lumrah alam

————————————————-

Isi dan Persoalan

1. Kekecewaan yang sukar diubati

2. Kebahagian boleh berakhir bila-bila masa

3. Kesedihan dapat disembunyikan

4. Nasib yang baik atau tidak baik terpaksa dihadapi

Bentuk

1. Pantun ini terdiri daripada empat rangkap

2. Bilangan baris dalam setiap rangkap sama, iaitu empat rangkap

3. Ada pembayang dan maksud

4. Bilangan katanya tidak sama, iaitu antara tiga hingga lima patah kata setiap baris

5. Bilangan suku kata tidak sama, iaitu sembilan hingga sepuluh suku kata setiap baris

6. Rima akhir abab

7. Bentuknya terikat atau tidak bebas

Gaya Bahasa dan Keindahan

1. Pemilihan kata yang indah, contohnya karam di hati

2. Bahasa kiasan, contohnya Kusangka panas sampai ke petang,
Kiranya hujan di tengah hari

3. Anafora, contohnya Karam di laut boleh ditimba
Karam di hati bilakah sudah

4. Asonansi, contohnya Karam di hati bilakah sudah

5. Aliterasi, contohnya Untung nasib permainan badan

Nota

Anafora – pengulangan kata
Asonansi – pengulangan vokal dalam baris yang sama
Aliterasi – pengulangan konsonan dalam baris yang sama

Pengajaran

1. Hendaklah menjaga hati

2. Hendaklah menerima takdir

3. Jangan menyembunyikan kesusahan


Sumber: Dunia Puisi

Sajak: Andai Senyuman Ini Terhenti

tumblrlhhlpkzqey1qa70wc Sajak: Andai Senyuman Ini Terhenti

ANDAI SENYUMAN INI TERHENTI

Andainya hari hari kau dapat melihat senyuman ini
tentu kau rasa betapa riang dan senang dihati
biarpun sebenarnya kau tidak mengetahui
betapa dalam senyuman itu
ada rintihan dan tangisan dihati
ada harapan dan impian yang belum menjadi realiti
hanya mengukir senyuman untuk semua orang
yang melihat dan bertandang.

Andainya nanti senyuman ini terhenti
dan kau tidak dapat melihatnya lagi
berada di sekeliling mu
usahlah kau pilu dan sayu
kerana itu sudah ketentuannya
yang bermula akan berakhir
pulang padaNya yang memanggil.

Andai senyuman ini terhenti
sebenarnya aku sudah mati
kau harus mengerti
senyuman yang mengukir selama ini
terhenti di sini.

NOORISYAM BAKHTIAR
Selangor
03-03-11.

URL: www.kreatifminda.com



Sumber: http://www.ipuisi.com/andai-senyuman-ini-terhenti

Sajak : Sang Pendosa

358179036835091362d3z Sajak : Sang Pendosa

Sang Pendosa

Kisah ini ku tulis kala hidup tak sebaik dulu
hidup di penuhi angkara dalam lingkaran hitam dunia
kisah ini ku utarakan dari pojok hati sang pendosa
kisah ini ku ceritakan demi hidup yg lebih baik.

apa yang bisa di buat seorang pendosa
berbuat baikpun tag dianggap oleh mereka
hanyalah penyesalan dan perenungan dosa
yang kami mampu lakukan disela-sela kejahatan hidup dunia

dengarlah wahai manusia pendosa
kalau hidup tag hanya masalah kita didunia
masih ada kehidupan kekal setelahnya

bukan tulisan ini yg kau baca
bukan kata-kata ini kau lihat
tapi lihatlah arti dari susunan kata
yg terselip penyesalan seorang pendosa

di balik paras sempurna manusia
mungkin tersimpan lembah hitam dosa
yg mereka tag tau bagaimana lembah itu ada

inilah tulisan sang pendosa
yang menyesal telah melakukannya
semoga tag terlahir kembali generasi pendosa
karena tag ada tempat bagi mereka

NB : puisi ini ku dedikasikan untuk mereka (pendosa) yang khilaf akan perbuatannya.
semoga ada pengampunan buat mereka (pendosa)!!!

Nukilan:
sipopon
URL : http://www.facebook.com/profile.php?id=1816897147

Image credit: Flickr



Sumber: http://www.ipuisi.com/sajak-sang-pendosa

Rindu Yang Terlarang

Rindu Yang Terlarang

tumblrlhcp9resh01qc3d2h Rindu Yang Terlarang

Memoriku tiada terbatas menyimpan
raut wajahmu yang inginku sentuh .

betapapun kerap kuterima
cambukkan dari kepalsuanmu .

yang kulihat hanya dusta
membekas dengan menenggelamkan
mimpi di samudra luas .

seiring kecewaku berkecamuk
saat kau ingkar .

kulihat kau berpijak dan melangkah
di jembatan itu untuk menghampiri
tetapi hanya kembali dan berbalik lagi .

inginku menembus tirai tirai dihatimu
untuk satu yang tak terungkap kau bungkam
menitipkan senandung lagu berbingkiskan
melodi yang tersirat di nurani terdalammu .

layaknya angin lalu menghembuskan
dedaunan diantara embun yg menetes

sekelompok merpati mengepakkan sayapnya
terbang kian kemari membawa anganku sejenak .
tak bisa ku gapai tak mampu kuraih .
seolah langit tak perna izinkan .

tapi izinkan aku untuk tetap terus
mengenangnya

Nukilan:

Dista



Sumber: http://www.ipuisi.com/rindu-yang-terlarang