Tempat menghantar karya secara online. Setiap karya yang terpilih akan disiarkan di blog yang bersesuaian. Anda juga boleh mempromosikan blog anda dengan menyertakan URL website anda. Selamat berkarya!


Sila isikan karya anda di sini.

Nama
Nama Pena
Email
URL (Jika Ada)
Mahu Papar URL (Jika Ada)
Tema Karya
Jenis Karya
Bukan original, nyatakan sumber
Tajuk Karya
Isi Karya


* Hanya karya yang terpilih sahaja akan disiarkan. Sila hantar karya yang mempunyai perenggan, susunan bahasa dan ejaan yang betul bagi memudahkan proses suntingan yang dilakukan secara manual.


* Penulisan yang menggunakan bahasa SMS atau singkatan yang keterlaluan tidak akan dilayan. Terima kasih.

Puisi : Seharusnya

Seharusnya
Seharusnya
yang bangkit itu
bukan sekadar perasaan

yang kaulafazkan
bukan sekadar keinginan

yang kuberi
bukan sekadar ingatan

yang kita hargai
bukan sekadar persahabatan

(Diangkat dari kumpulan puisi Bagai Ada Sesuatu)

Nama Pena: Hilmi Rindu
Email: mohd.hr.trg@kist.edu.my

Cerpen: Mimpi rekayasa Melayu

Cerpen: Mimpi rekayasa Melayu

(i) INTRO mimpi
Aduh, sukarnya jika harus memaksa mimpi. Tambahan pula jika mimpi ini mimpi ngeri. Malah menyeramkan. Sesiapapun akan menyanggah jika mimpi yang kupaksa ini kuceritakan.

Mimpi hanya mainan tidur. Aku tahu akan ungkapan klise itu. Akan tetapi mimpi ini memang kupaksa. Telah lama ini aku ingin bermimpi seperti ini. Dan akhirnya mimpi yang kupaksa ini terjadi juga. Mimpi ini menyiksakan. Terlalu menyiksakan jiwaku. Terlalu memaksa jiwa Melayuku.

Aduh! Aku tidak mahu mimpi begini sebenarnya. Terlalu berat. Bagaimanakah akan kuceritakan mimpiku nanti. Tapi, aku tidak mampu. Pagar mimpiku ampuh. Tidurku terlalu nyedar untuk bangun. Dingin dan selesa amat. Aku tidur dalam damai dan nyaman. Dan mimpiku berlangsung terus. Terus dan terus.

(ii) Latar mimpi

Latar mimpi ini tidak jauh dan tidak dekat. Sekitarku dan sekitar siapa-siapa. Sekitar orang Melayu. Sekitar aku kerana aku dan Melayu itu bersinonim. Dan silogismenya begini;

Aku bermimpi

Aku Melayu

Melayu bermimpi!

Aduhh..! Latar masa mimpiku panjang amat. Sejak zaman prasejarah, zaman kegemilangan Melayu, zaman Islam, zaman penjajahan, zaman ini, dan zaman akan datang. Melayu tidak hilang di dunia, kata Laksamana Hang Tuah. Kata orang ungkapan itu bukan kata Hang Tuah. Akan tetapi kata pengarang Hikayat Hang Tuah. Selama manapun, Melayu tetap ada, tetap wujud. Akan tetapi kewujudan itu tidak pasti. Benarkah? Atau mimpi sahaja yang berkata begitu?

Ruang lingkup mimpiku amat luas. Seluruh kepulauan Melayu dan seluruh ketamadunan Melayu. Seluruh orang Melayu, seluruh jiwa Melayu. Meliputi tanah semenanjung, kepulauan Indonesia, Mindanao, Madagascar, Sri Lanka, malah semua bumi yang pernah dikenali sebagai bumi Melayu. Sementelah orang Melayu telah memenuhi dunia Melayu ini. Semenjak 2500 sebelum masihi, telah datang orang Melayu. Kemudian datang satu gerombolan lagi, juga orang Melayu, membentuk bangsa Melayu, Banjar, Minangkabau, dan macam-macam lagi. Semuanya Melayu. Malah ada orang yang mendakwa bahawa Melayu juga pendatang seperti mereka. Jadi apa istimewanya Melayu? Melayu juga pendatang ke tanah bertuah ini, cuma Melayu datang jauh lebih awal.

Perjalanan mimpi di semua latar tempat dan masa amat pantas. Sekelip fikir. Semakin lama aku semakin pantas, meneroka setiap latar, merasai perbezaan, membuat perbandingan, menilai kewajaran, menolak dakwaan, menangkis tohmahan, menelan kebenaran, dan macam-macam lagi. Sehingga aku menjadi penat. Aduh, bangunkan aku segara dari mimpi ini. Aku penat. Aku tidak mahu bermimpi terus! Tapi mimpi ini berlarutan, berjela-jela!

(iii) Watak mimpi

Watak mimpiku satu tetapi banyak. Yang kukenal pasti ialah watak Melayu. Satu dan banyak. Satu tapi banyak. Banyak tapi satu. Banyak dan kurang. Satu dan kurang. Kurang daripada satu. Maknanya watak Melayu semakin kurang Melayunya. Jika kekurangan ini berterusan watak Melayu akan terus kurang. Kurang Melayu atau Melayu kurang. Aku cuma kaget dalam mimpi ini, apabila Melayu menjadi kurang dan kurang dan tiada lagi. Tiada!! Melayu tiada, Melayu hilang. Lupus. Jati diri Melayu lupus. Minda Melayu lupus. Bahasa Melayu lupus. Tanah Melayu...??! Aduh, jika benar semua yang Melayu miliki itu akan hilang, ke manakah arah Melayu, ke manakah arah aku kerana aku Melayu. Ya aku Melayu.

Watak-watak mimpi juga bersilih ganti. Akan tetapi semuanya watak Melayu. Adakala ada watak asing, bukan berkulit sawo matang tetapi cerah dan gelap. Gelap dan cerah. Semuanya bercampur-baur mewarna mimpi Melayuku. Yang cerah dengan mimpi cerahnya. Yang gelap dengan mimpi gelapnya. Tapi ini tetap mimpiku, mimpi Melayu.

(iv) Tema mimpi

Tema mimpiku tetap sama. Sejak dulu, kini, dan selama-lamanya. Tema Melayu. Akan tetapi aku takut untuk menghebahkan tema Melayu ini. Aku ingin mengubah Melayu. Aku ingin mengubah istilah Melayu! Aduh, aku sudah menceritakan. Maafkan aku kerana mimpi tidak tertakluk kepada akta, kepada undang-undang tubuh, kepada perlembagaan. Mimpiku memang bertemakan Melayu. Asal-usulnya Melayu itu berbagai-bagai teori yang ada. Katanya sempena Sungai Melayu di Jambi, yang airnya berlari deras dan selari pula dengan kata melayu dalam bahasa Jawa. Makna Melayu itu adalah berlari. Akan tetapi aku tidak pernah lari. Aku tetap di bumi Melayu ini. Tanah Melayu. Pantang sekali Melayu lari, walaupun jiwa mereka sudah mula lari.

“Mana Tanah Melayu?”

“Tanah Melayu telah tiada. Namanya sudah ditukar!”

“Kenapa ditukar nama Tanah Melayu itu?”

“Tanah Melayu sudah merdeka. Kemerdekaan menjadikan semuanya bebas. Tukarlah apa-apa sahaja, kerana kita semua merdeka…!! Kita semua sudah bebas! Orang merdeka dan bebas tidak memerlukan nama Melayu lagi. Sudah lebih setengah abad nama Tanah Melayu ditukar. Mana ada tanah Melayu lagi?”

Wah! Mimpiku kembali meladeni sejarah. Mengikut sejarah Tanah Melayu yang menerima kemasukan sesiapa sahaja kerana kemewahan Tanah Melayu. Datanglah! Datanglah ke Tanah Melayu. Kami orang Melayu tidak pernah ambil kisah. Datanglahh!!

Aku menangis dalam mimpi ini kerana Tanah Melayu tiada lagi. Tanah untuk orang Melayu tiada lagi. Kami bukan orang Tanah Melayu lagi. Kami sudah jadi orang Malaya! Sedap juga nama negara baharu kami. Malaya!! Ya, Malaya! Malaya pasti merdeka seperti kata Pak Afrini Adham. Merdeka!!!

Dan akhirnya Malaya memang merdeka. Tanah Melayu sudah tiada. Melayu semakin tiada. Semangatnya tiada. Kalau nama Tanah Melayu kekal, semangat Melayu sudah tentu berkobar-kobar. Orang Melayu pasti lebih sayang akan tanah mereka. Mereka tentu tidak akan menjualnya untuk mendapatkan wang, beras, pangkat, kedudukan, dan politik. Orang Melayu sudah pandai main politik, sebab itu negeri kita menjadi Malaya. Penjajahan mindakah itu? Bukan!! Inilah kemerdekaan.. Kita telah merdeka.

Akhirnya Malaya merdeka! Wahhh, seronok hidup dalam kancah kemerdekaan. Bebas! Bebas sampai ke bulu-bulunya, seperti kata sasterawan negara. Dan merdeka menjadikan Melayu terus berlari seperti arus Sungai Jambi. Ke mana arah?

Malaya sudah tidak enak lagi. Mari kita tukar nama Malaya! Mari kita tukar. Wah mimpi ini semakin menerawang jauh dan jauh. Maka suatu ketika dalam mimpi itu Malaya ditukarkan pula. Malaysia! Yehhhh..., kita ada nama baharu. Akan tetapi apakah makna Malaysia kepada orang Melayu. Bagus! Apakah makna Malaysia kepada orang atas angin? Bagus! Apakah makna Malaysia kepada orang bawah angin? Malay si a! Malay si a! Bagus! Bagus! Bagus! Semuanya bagus!

Waduh, jauh sudah destinasi mimpiku. Bermula dengan kedatangan Melayu Proto, Melayu Deutro, dan Melayu moden yang sudah hilang Melayunya. Kini aku orang Malaysia. 1 Malaysia, semuanya Malaysia. Bahasaku bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia bahasa untuk semua. Walaupun tidak semua yang tahu bercakap dalam bahasa Malaysia. Masuk kandang mahkamah kena ada jurubahasa. Tulisan jawi sudah tidak ada. Yang ada tulis berjuring tajam tercacak-cacak, berpuntal-puntal. Bukan tulisan Rencong atau huruf Ka Ga Nga warisan persuratan Melayu dahulu. Asing tetapi menguasai. Wah.. semakin gawat mimpiku ini. Gawat mimpi Melayuku ini!

“Mana bahasa Melayu?”

“Bahasa Melayu telah mati…!”

“Mana tahu mati?”

“Kerandanya telah diusung sekian lama?”

“Di mana pusaranya?”

“Di mana-mana sahaja!”

“Kamu melampau. Sekarang orang sedang mengutamakan bahasa Melayu di sekolah!"

“Tapi pemimpin kita lebih senang cakap orang putih. Artis kita sangat fasih bercakap orang putih. Mereka Melayu tetapi cakap orang putih dalam majlis Melayu. Melayu sudah putih. Atau Melayu sudah putih mata.”

Mimpiku sudah mula melalut. Bahasa mana boleh mati! Verba volen scripta manent. Maknanya bahasa pertuturan akan terbang, bahasa tulisan akan kekal. Maksudnya bahasa Melayu yang tercatat pada naskhah lama akan kekal. Masalahnya naskhah lama Melayu juga sudah hilang, dibawa orang berkulit putih dan berkulit merah dalam era penjelajahan dan penjajahan. Semuanya dibawa pergi. Yang tinggal hanya bahasa pertuturan yang akan terbang. Verba volen scripta manent.

(v) Kemuncak Mimpi

Dalam binaan plot mesti ada kemuncak mimpi. Mimpiku sudah sampai ke kemuncaknya. Bukan kemuncak mimpi berahi. Kemuncak mimpi tentang jati diri, tentang bangsa sendiri.

“Aku mahu merekayasa bangsaku! Melayu perlu direkayasa! Melayu mesti direkayasa!”

“Engkau bermimpi…?”

“Ya, aku bermimpi ingin merekayasa bangsaku!”

“Bangsa tidak boleh direkayasa! Hanya orang politik yang boleh mengubah bangsa. Mereka telah mengubah bangsa kita dengan banyaknya. Mereka telah mengubah negeri kita dengan besarnya. Nama negeri kita berubah-ubah. Nama bahasa kita berubah-ubah. Dan mereka akan terus merubah. Kita hanya melopong menelan perubahan itu. Dan jauh sekali kita akan menentang. Kita orang baik. Pantang orang Melayu menderhaka. Pantang sampai dipijak kepala.

“Aku akan mengubah nama bangsaku!”

“Kerja gila!”

“Dalam mimpi tidak ada yang waras, tidak ada yang gila!”

“Ikut suka engkaulah! Selepas terjaga nanti, mimpi kau akan hilang juga.”

“Kadang-kadang mimpi akan menjadi kenyataan.”

“Kau melalut...!”

Mimpi semakin pekat dan hitam. Awan bergumpal memenuhi langit bumi Melayu ini. Tiba-tiba hujan turun. Lebat dan menghanyutkan kelodak di muka bumi Melayu ini.

Ketika aku menggigil kesejukan dalam mimpi itu, aku disapa oleh seseorang. Riak wajahnya dia seorang berbangsa sepertiku. Bercakap sebahasa denganku. Barangkali dia itu aku. Dia Melayu. Aku Melayu. Dia ialah aku.

“Siapa Tuan yang muncul selepas hujan?”

“Asal-usulku sama seperti kamu! Akan tetapi aku sudah bertukar nama bangsaku,” jawab orang itu jelas. Adakah dia itu aku?

“Tuan pastinya orang Melayu sepertiku! Tuan berbahasa Melayu,”

“Tidak! Aku mahu mengubah Melayuku..!!”

“Kalau tidak Melayu, kamu jadi apa?” tanyaku kepadanya, kepadaku.

“Apa-apa sahaja yang tidak melayu!”

“Melalut?!” Diam.

“Melatah?!” Diam.

“Melarat?!” Diam.

“Mela… yang?!” Diam.

“Mela… cur?!” Jegil tapi terus diam. Tetap diam kerana Melayu sekarang semakin pendiam.

Barangkali dia marah kerana cadanganku untuk menggantikan melayunya itu secara negatif, yang kotor-kotor. Buruk sekali fikiranku terhadap bangsanya. Bangsaku juga!

“Maafkan saya, Tuan..!” Masih takut aku. Masih terasa bersalah aku.

“Aku tidak mahu bangsaku dikaitkan dengan perkara yang buruk-buruk,” tegas orang itu dengan suara yang menggetarkan latar mimpiku. Aku terdiam, menyesali keceluparan. Ahhh… jika aku berbangsa Melayu begitu buruk tanggapan terhadap bangsaku, apatah lagi bangsa lain. Akan tetapi bahasa Melayu telah ditukar namanya. Adakah itu tidak bersalah? Sedangkan dalam perlembagaan, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan. Ahhh….

Perlembagaan itu ciptaan manusia. Sedangkan kalam Tuhan juga sudah banyak yang mentafsirkan sesuka hati.

“Apakah nama yang Tuan cadangkan untuk menggantikan nama Melayu?” Tanyaku semakin berani. Aku memang berani sebab aku bermimpi. Dunia mimpi tidak ada gangguan, tidak ada undang-undang, tidak ada perlembagaan. Tidak ada mahkamah dalam mimpi. Tidak! Perlu apa aku berasa takut? Sedangkan di alam realiti orang sudah mula melanggar undang-undang, mempermainkan perlembagaan, dan mengeksploitasi agama. Semuanya untuk kepentingan sendiri. Aku hanya melakukannya dalam mimpi. Aku pasti. Aku hanya bermimpi.

“Menyegarrrr….!!!” Jawabnya pantas lagi yakin. Lancar sekali sebutannya.

“Menyegarrr…??!!” Kaget amat aku.

“Setiap kali kita menyebut nama bangsa, kita seperti mendoakan bangsa kita. Jika kita terus mendoakan bangsa supaya layu, maka akan layulah bangsa kita,” hujahnya. Dan aku tidak berkata apa-apa. Itu pandangannya, yang dilontarkan dalam mimpiku.

“Jadi, bangsa kita akan segar jika kita sebut Menyegar?!” tanyaku kelinglongan. Gawat. Nama bangsaku sudah termaktub dalam perlembagaan sebagai bangsa Melayu. Mana boleh ditukar-tukar. Jika ditukar, barangkali ada pihak yang akan menyaman RM100 juta orang yang berdiri di depanku ini. Dia itu sama denganku. Barangkali dia itu aku. Saman menyaman sekarang sudah menjadi budaya Melayu, terutama politikus-politikus Melayu.

“Apa bangsa kamu?” tiba-tiba orang itu bertanya.

“Mela… err, Menyegar…!!” jawabku terketar-ketar. Lantas orang itu ketawa berdekah-dekah. Mimpi yang kupaksa itu berkecai, menjadi puing-puing, dan hilang. Aku terbangun. Aku melompat untuk melihat wajah pada cermin. Aku melihat warna kulitku. Aku melihat mataku, melihat rambutku. Ternyata aku masih Melayu walaupun tidak ada nama bangsa dicatatkan pada wajahku. Aku berbahasa Melayu. Aku tetap Melayu. Aku menarik nafas lega kerana aku masih Melayu, yang sebenarnya Melayu.

(vi) Denouemen mimpi

Di luar, malam masih gelap, masih jauh dari sinar fajar yang pasti akan menyerlah jua. Aku ingin tidur kembali. Aku ingin memaksa mimpi datang lagi. Sekali lagi mimpi rekayasa Melayu, dalam versi yang lain pula, barangkali versi politik orang Melayu; kerana akhir-akhir ini politik Melayu penuh dengan igauan mimpi ngeri.


Oleh Ghazali Lateh
ARKIB : 18/04/2010

Cerpen: Sebiji oren dan kenangan hari minggu

Sebiji oren dan kenangan hari minggu

Seperti biasa, aku ke taman permainan di hujung pesiaran perumahan. Kuhela udara pagi sedalam-dalam seperti kuhirup kenangan yang berbisa ini, kulepaskan perlahan-lahan seakan-akan aku akan melepaskan selama-lamanya. Usiaku sudah tua malah telah dituakan dek pengalaman dan derita lalu. Kulihat matahari pagi dengan rasa syukur yang terlalu, kurenung pokok-pokok yang tumbuh baik yang renek mahupun rendang serentak aku merasakan aku perlu menikmati ini sepuas-puasnya.

Ya, usiaku sudah masuk ke angka 80. Tahun ini genaplah. Mengenang usiaku, aku teringat, Atek, suamiku yang telah pergi hampir 25 tahun. Aku teringat adikku, Achan yang suka ketawa itu yang telah pergi selama-lama lima tahun dahulu. Aku terlalu rindu akan jiranku yang juga rakan karibku sejak remaja, Salamah yang juga telah ke alam abadi berbelas-belas tahun dahulu. Aku teringat menantuku, Ajah yang meninggalkan kami sekeluarga pada usia 50 tahun. Aku teringat semua, aku teringat sangat-sangat terutama pada saat ini, pada saat matahari naik hari berganti hari. Pada saat aku menghitung usia yang semakin redup, kudrat yang semakin longlai dan nafasku yang semakin lemah.

Semua itu kenangan. Kini aku benar-benar merasakan kesunyian. Keseorangan. Temanku hanya suara jiran-jiran, tapi bukan diri mereka sejujurnya. Hanya Afong. Hanya Afong yang kuanggap sahabat dan saudara semulia-mulia manusia.

Aku melangkah seupayanya mengenapi satu pusingan. Aku berhenti melepaskan lelah dan aku tenangkan diriku. Aku merasakan pandangan berbinar-binar. Aku duduk di bangku panjang seperti biasa. Aku mengelap peluh-peluh kecil serentak aku merasakan puas aku dapat berjalan dalam satu pusingan trek joging.

Itu dia, Afong muncul. Dia, jiranku beranak lima, rapat-rapat anaknya. Dia baru selesai menyiapkan makanan dan apa sahaja kepada anak-anaknya yang mahu bersekolah. Afong, usianya empat puluhan, suri rumahtangga kepada seorang peniaga taufu inilah teman aku yang masih setia ke taman ini. Setiap hari, walaupun dia sering terlewat daripadaku. Kadang-kadang dia berjalan seiring denganku. Lebih banyak tidak, kerana menguruskan anak-anak dan suami sejak awal pagi katanya.

Pagi ini dia merungut tentang kelakuan dan sikap anak-anaknya. Semakin nakal, katanya. Yang kecil semakin kuat minum susu, yang besar sedikit semakin suka bermain basikal. Dia memperkata satu-satu termasuk tentang suaminya yang kerap pulang lewat malam. Aku mendengar dengan penuh minat, sesekali aku senyum dan ketawa. Dia mengerutkan kening bermaksud menanyai kenapa aku ketawa. Aku katakan itu biasa, aku katakan bahawa aku telah menempuh pengalaman itu dahulu. Dia merasakan penat kerana beranak lima, aku katakan aku beranak sembilan. Dan kesembilan-sembilannya telah dewasa, termasuk seorang yang telah berjaya sebagai ahli korporat di Perth.

Luahan


Mendengar luahan Afong seolah-olah cerita nostalgia yang diputar kembali. Namun suasana dan keadaannya berbeza. Zaman yang berbeza, permasalahan luaran yang berbeza namun hakikatnya sama: rungutan seorang isteri dan ibu yang banyak berkorban.

Memikirkan pengorbanan, aku rasakan memang aku telah terlalu banyak berkorban. Maka aku ceritakan kepada Afong makna pengorbanan dan kesetiaan kepadanya. Dia mengangguk-angguk menyetujui. Sesekali keningnya berkerut, sesekali dia tersenyum dan sesekali kulihat matanya berair.

Kataku: Sememangnya kita melalui perjalanan hidup dengan pengorbanan, Afong. Jika tiada pengorbanan dan keikhlasan kita tidak akan merasa puas. Semakin banyak pengorbanan yang kita lakukan, semakin banyaklah kepuasan yang kita dapat.

Kataku lagi: Aku dibesarkan dalam keluarga yang susah, miskin malah terlalu payah. Aku dibawa oleh ibu dan ayahku dari negara di hujung sana. Ayahku bekerja sebagai buruh dalam zaman perang yang mengganas dan penuh pancaroba. Sebagai anak perempuan, aku dijaga dengan baik, maklumlah terlalu banyak dugaan yang ditempoh. Ayah dan ibuku orang mendatang. Dikelilingi budaya lain dan zaman perang pula. Aku dewasa dengan disiplin yang kuat. Terlalu banyak larangan yang perlu aku patuhi. Semuanya dapat aku laksanakan dengan baik.

Aku agak rancak bercerita. Kataku: Aku tidak mempunyai banyak kawan, aku digelar 'gadis putih' yang tidak fasih berbahasa Melayu. Aku tidak pandai makan sambal belacan dan ulam petai, aku tidak mengamalkan ajaran agama seperti Minah atau Salamah atau Junaidah. Aku menyenangi jiranku, Yusof, yang banyak membantuku dalam berbahasa Melayu. Ketika itu dia guru pelatih sebuah kolej perguruan. Terus-terang aku katakan, aku menyenanginya. Dan aku ada rasa yang aku simpan sedalam-dalamnya terhadapnya. Aku rasakan dia juga begitu. Namun aku tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menerima apa sahaja ketentuan. Sebabnya. Aku lain. Kepercayaan. Bahasa. Warna kulit dan cara aku makan. Namun aku dapat seuaikan diri dengan orang sekeliling. Bagiku, itulah pengorbananku yang terawal. Ya, yang pertama dan bermakna.

Aku terus bercerita. Matahari semakin tinggi. Kataku kepada Afong: Ketika zaman perang, ayahku mati tertembak. Ibuku juga. Kami terpisah. Aku mengenali seorang lelaki. Atek, nama panggilan mesra dari muda hinggalah dia berada dalam keranda. Kami tinggal di sebuah rumah kecil di Tanjung Tualang. Desakan hidup dan pancaroba zaman perang menyebabkan Atek membuat keputusan luar biasa. Dia menjadi militer. Aku mengikutinya. Di sana aku menikmati hidup baru. Ya, susah payah aku dan suamiku tempuhi. Setiap tahun aku beranak hingga empat, kemudian selang dua tahun aku melahirkan anak hingga ke angka sembilan.

Bercerita


Afong mahu aku melanjutkan cerita. Entahlah kenapa. Aku terlalu lancar bercerita kepadanya. Kataku: Anak-anakku membesar dengan baik walaupun amat payah untuk menyediakan makanan yang cukup. Pakaian hanya cukup untuk ganti sehari dua. Pakai yang ini basuh yang itu. Esok pakai yang ini semula. Lusa pakai yang itu. Begitulah. Yang koyak aku jahit, yang berlubang aku tampung. Beras yang banyak kami makan sepuas-puasnya, beras yang sedikit kami agih dan kurangkan dalam mangkuk. Tidak ada sayur, aku kutip di tepi lombong, tidak ada ikan, aku kail di situ juga. Aku dan Atek akan pastikan anak-anak kami makan, dengan kenyang walau apa pun terjadi hingga kadang-kadang aku dan Atek terpaksa makan nasi sehari sekali. Itulah pengorbanan, Afong. Pengorbanan untuk hidup dan pengorbanan demi anak-anak.

Oh, ketika ini aku lihat kelopak mata Afong berair. Aku memahami simpatinya. Aku cuma tersenyum kerana itu tidak berlaku lagi dalam hidupku. Itu semua telah berlalu. Tetapi mungkin, ya aku dapat rasakan Afong mengalaminya sekarang dalam suasana yang lain dan masalah yang lain.

Betul kata Afong. Sekarang, kesempitan bukan lagi susah untuk makan, tetapi kesempatan zaman baru ini adalah kesempitan untuk menguruskan kehidupan. Membayar bil yang berderet-deret, membayar hutang kereta dan rumah, membayar petrol untuk bergerak, membayar cukai itu ini, bayar yuran sekolah, bayar itu bayar ini. Ya, betul. Memang betul. Aku dapat rasakan kepayahan itu. Tapi aku dulu lebih susah, Afong. Ujarku menambah.

Aku ceritakan lagi: Anakku yang sulung telah tamat persekolahan menengah dan layak belajar ke luar negara. Apa yang ada pada kami melainkan sedikit wang simpanan untuk menghadapi hari kematian? Jangan fikirkan sangat tentang wang, kata Atek. Anak kita mesti sambung pelajarannya setinggi yang dia mampu. Kami menghantar anak sulung kami, Ayi dengan rasa sebak menaiki kapal menuju ke Singapura. Aku tabahkan hatinya jadi anak yang kuat semangat. Namun hatiku lebih sebak sebenarnya. Saat aku menepuk bahunya agar dia kuat, aku merasakan diriku yang semakin lemah. Kami berhempas pulas mencari wang untuk menyara pengajian Ayi dan adik-adiknya. Atek bukan sahaja kerja di lombong pagi hingga petang, malah sebelah malam membantu kawannya berniaga di sebuah kedai makan. Entahlah kedai makan apa sebenarnya. Orang kata seperti sebuah kelab malam. Aku tidak pedulikan sangat. Kata Atek, yang penting kerja baik, dilakukan dengan jujur. Aku meyakini kata-kata Atek.

terbayang

Ketika ini aku terbayang wajah kesemua anakku. Wajah comel mereka ketika kecil, wajah ceria mereka berbaju sekolah dan hinggalah wajah-wajah mereka yang sekarang. Cuma…

Afong ingin tahu mengapa aku diam.

Aku cuba senyum pada Afong. Dengan berat. Oh, Tuhan, aku rindukan anak-anakku. Kalau boleh, aku mahu mereka bersama-samaku menjalani kehidupan yang payah seperti mereka kecil-kecil dahulu. Aku mahukan mereka mengitari badanku menunggu aku membubuh nasi di dalam mangkuk masing-masing. Aku merindukan saat-saat mereka mengantuk mahu tidur bersama-samaku. Aku teringat suara mereka memanggilku bertanyakan mana baju yang ingin dipakai, mana kasut, juga suara tanya, seru, marah mereka, ini stoking koyak siapa? Pensel saya sudah patah, mak, adik ambil sayur saya, mak, mak, mak… Ketika mereka hampir denganku, aku rasakan kebahagiaan.

Setelah berlalu itu semua, aku menghadapi hari-hari sepi sebegini. Ya, itu pengorbanan. Itulah pengorbanan yang kita tempuh, Afong.

Biarlah aku habiskan cerita ini Afong. Kataku: Aku bersendiri di rumah ini. Aku terlalu sunyi. Aku sudah kehilangan upaya. Serba-serbi. hidupku dipenuhi dengan pengorbanan dan kepayahan sehingga kini. Aku telah disisihkan jauh oleh anak-anakku sendiri. Hanya kau Afong yang sudi mendengar ceritaku dan memahami kesunyianku.

Aku terus bercerita hingga Afong tahu kesudahannya. Kataku: Dahulu, aku tidak tahu apa itu perjuangan sebenar. Aku hanya mengikut kata-kata orang yang rapat denganku. Aku masuk ke hutan. Bersama-sama Atek. Aku pernah memakai baju tentera berlogo tiga bintang. Lama-kelamaan, aku pandai bermain senjata. Aku mahir bergerak menyusup dalam hutan. Hinggalah pasukan kami berpecah akibat ramai yang ditangkap pihak berkuasa. Ketika itu barulah aku tahu apa yang aku dan Atek lakukan adalah satu kesalahan dalam perjuangan. kami disisihkan oleh masyarakat. Malah, anak-anak kami dihasuti dengan tanggapan, anak petualang! Aku sangat hiba, sangat kecewa. bagiku itulah pengalaman paling pedih dalam hidupku. mungkin kebetulan, mungkin kesilapan, mungkin ketentuan.

Afong menyentuh bahuku. aku tersengguk-sengguk menangis dan kusedari air matanya juga menitis.

Pagi itu pagi hari minggu. Sehari lagi sambutan tahun baru. Sejurus aku pulang ke rumah ketika mahu memanaskan sup sayur semalam, sebuah kereta melintasi, lalu berhenti kemudian. Mengundur semula dan berhenti betul-betul di hadapan pagar rumahku. Keluar seorang lelaki. Aku merenungnya dalam kabur pandangan. Aku petia. Lelaki itu tersenyum. Wajahnya seperti orang yang amat aku sayang. Ya, wajahnya benar-benar seperti Atek. Dia merapatiku. Memeluk erat. Lantas dia menuturkan: Lupakan segala kesedihan ibu. Saya datang untuk membalas pengorbanan ibu. Dengan penuh kasih sayang, saya akan membawa ibu meninggalkan segala kesedihan. Esok semua anak-anak ibu akan berada di sini. Ibu akan kami jaga dengan kasih sayang dan nyawa kami.

Kataku: Itulah Ayi. Namun belum tentu dapat menutup kesunyianku.

Afong menghulurkan sebiji oren. Kata Afong: Hanya sebiji oren. Makcik adalah satu-satunya kawan saya yang istimewa. sebiji oren untuk makcik, selebihnya untuk saya, suami saya dan anak-anak saya. Selamat tahun baru.

Kurenungi wajahnya legat-legat. Kami berpelukan. Hati kami sebak serentak. Ya, hari itu hari minggu. Ayi menanti di pintu.

~ Utusan ARKIB : 25/04/2010

Syair Berdarah

Syair Berdarah

Bilang Saja Aku Binatang Kalau Kau Mau
speciesku punah!
seperti hentakan tegang tinggi
terlanjak pada dawai-dawai
partikel-partikel penerang bumi
lamat-lamat meresap getar
ketar pada jiwa

Aku manusia
matalamat mati
speciesku punah
aku nikmat tampar angin

Aku sedang malu pada binatang...
maka bilang saja aku binatang kalau kau mau

Nukilan:
Retno Handoko
retno1@live.com
http://katakupunah.blogspot.com/

Sajak Cinta | Bisikan Rindu

Bisikan Rindu

Tidak kusangka begini akhirnya,
perpisahan menjadi pilihan,
bagai mimpi,
semua ini terjadi.

Namun,
hati ini kugagahkan jua,
menghadapi hari-hari mendatang,
moga memori lalu,
menjadi kenangan terindah.

Saat ini,
hati mula keliru,
haruskah ada peluang kedua?,
masih adakah sinar kebahagian?
setelah apa yang terjadi.

Ya Tuhanku,
padaMu daku bermohon,
tunjukkanlah jalan yang terbaik buatku,
amin..

Nama Pena:
Kemboja Putih
Nf_virgo90@yahoo.com

Koleksi Gambar Anime

Galeri Gambar Cute Anime Couples.
Sila klik untuk besarkan gambar.



Puisi : Jujur


Jujur

Aku menilai bukan dari
keindahan paras rupa
tetapi dari ketulusan hati
aku jatuh cinta bukan dari
kemanisan tutur bicara
tetapi dari kejujuran kata-kata

Hadir kamu dalam hidupku
ku hargai sepenuh jiwaku

Asalkan kejujuran menjadi teras
pasti cinta kan teguh terpatri

Nukilan:
Nys Zairee

Surat Marni Buat Suaminya

Suamiku tercinta , sedang apa
aku tahu sayang sedang duka
dan masih tetap tidak punya apa apa
tapi maaf sayang , aku harus cerita
tentang anakmu layu
yg 3 hari ini sudah tidak minum susu
tubuhnya jdi lemah haru membiruu

Sayangku, lebih keraslah bekerja
aku tidak mau kamu bergantung pada mereka
mereka yg disana berpura jadi wakil kita
lalu tidak tahu dan tidak mau tahu
tentang anak kita yg tidak pnya susu
suamiku . tolong anakmu
anakmu rapuh sudah tidak bergizi

Mereka suruh kita pilih mereka jadi orang nomer satu
suruh kita buat diam
dibodohi biar jadi orang tidak tahu
tapi aku muak sayang
muak sama janji bintang bintangnya
suamiku sayangku , maafkan aku membebanimu
hnya kamu tumpuanku
negeriku sudah acuh padaku dan anaku

Suamiku sayang , kita korban
yg tetap tidak berubah di fase lima tahunan
sayang , katakan pada dia
bagaimana kau kayuh becakmu
atau bagaimana kau keruk pasir sampai senduu
juga bau keringat busukmu pada sekujur badanmu

Dan katakan kau lelah
lelah disebut orang susah
kemudian katakan kau sudah rajin kerja hmpir mati
tapi nasibmu jauh dari berubah
lalu sayang katakan kmu mau seperti pak menteri
kerja seminggu lima hari
tidak tahu diri bergaji tinggi

Suamiku . tolong anakmu
anakmu layu
anakmu rapuh sudah tidak bergizi

Nukilan:
dios