Tempat menghantar karya secara online. Setiap karya yang terpilih akan disiarkan di blog yang bersesuaian. Anda juga boleh mempromosikan blog anda dengan menyertakan URL website anda. Selamat berkarya!


Sila isikan karya anda di sini.

Nama
Nama Pena
Email
URL (Jika Ada)
Mahu Papar URL (Jika Ada)
Tema Karya
Jenis Karya
Bukan original, nyatakan sumber
Tajuk Karya
Isi Karya


* Hanya karya yang terpilih sahaja akan disiarkan. Sila hantar karya yang mempunyai perenggan, susunan bahasa dan ejaan yang betul bagi memudahkan proses suntingan yang dilakukan secara manual.


* Penulisan yang menggunakan bahasa SMS atau singkatan yang keterlaluan tidak akan dilayan. Terima kasih.

Cerpen Sastera : Pelukis Melukis Syaitan

Entah mengapa, syaitan semakin manja dengan kebanyakan manusia pelbagai jenis manusia, tanpa mengira gengsi, tidak terkecuali diriku, bisik hati Si Pelukis.

Dia termanggu-manggu.

Pagi itu, Si Pelukis yang dipelawa ke banglo seorang jutawan berkereta tua. Lebih kurang 30 minit, dia tiba ke pekarangan. Seperti mengantuk disorong bantal, seorang perempuan 30-an tampil di celah-celah pintu pagar elektronik.

"Assalamualaikum WTH."

Dia tidak menjawab. Si Pelukis ulang. Dia tidak menjawab lagi. Si Pelukis mengulangi. Balasan juga berperulangan.

Jika tadi, Si Pelukis itu menyebut salam sambil mengambil peralatan seni lukis, termasuk beg galas, sudah masuk kali yang ketiga puluh tiga, hingga siap peralatan berada di tangan, termasuk kereta turut siap dikunci, kali ini Si Pelukis berdiri macam rakyat Malaysia berdiri apabila terdengar lagu Negaraku � tanpa mengira rentaknya � rap, rock, mambo, jazz dan sebagainya.

Dalam hatinya, Si Pelukis menyebut, aku akan ulang hingga seribu kali salamku ini, jika tidak menjawabnya, tidak kulangkah kakiku ke lokasi.

Matanya merenung mata perempuan yang tersenyum girang. Wajahnya amat manis.

Baharu sahaja Si Pelukis mahu mengujarkan salam, deria telinganya dimasuki jawapan salam. Sekali, dua kali, tiga kali, empat kali dan apabila Si Pelukis mengiranya, perempuan itu mengujarkan jawapan sebanyak 99 kali.

"Saya menjawab salam saudara sebanyak 90 kali dalam bahasa Cina sebab pada abad yang ke-22 nanti, bahasa itu menjadi bahasa perdagangan dunia, menenggelamkan mana-mana bahasa, kecuali bahasa Arab. Selebihnya, saya belajar menyebut kosa kata Sepanyol, Jerman, Perancis, Melayu, Bugis, Jawa, Minang dan Tagalog."

Si Pelukis kalah. Jadi, dia menjimatkan masa. Sesi melukis dimulakan � di bawah pohon bo atau beringin yang rendang.

Pada mulanya, Si Pelukis menegakkan easel. Kemudian, kanvas 3' x 4' disandarkan. Berikut, dia menggunakan pensil untuk sketsa bentuk mata, mencongak bentuk muka, kepala, hidung dan sebagainya.

Kemudian, dia membuka tutup tiub warna akrilik, memicit tiub dan mengeluarkan warna ke atas papan campuran warna. Dengan segera Si Pelukis mengecat latar, meninggalkan objek model dengan putih kanvas.

Cepat jari-jemarinya bekerja macam lipas kudung.

Dan, cepat pula dia mengecat bahagian pipi, dahi, dagu, mata dan tepi muka.

Lebih kurang 10 minit, rupa wajah model timbul.

Sepuluh minit kemudian, Si Pelukis memberi isyarat meminta perempuan yang menjadi model itu mara ke arahnya. Maksudnya untuk melihat lukisan itu.

"Aduhai, cepatnya siap!," kata perempuan itu dalam bahasa Cina. "Cantik pulak tu," tambahnya dalam bahasa Arab. "Bagaimana begitu pantas?" Tanyanya dalam bahasa Urdu.

Si Pelukis pening tiba-tiba. Dia cuma fasih bahasa Cina dan Arab. Bahasa Melayu pun tidak fasih sesudah terlalu ramai Melayu yang tidak bersekolah [istilah P Ramlee] memilih bahasa Antaberanta untuk mempelajari Ilmu Lesap dan Ilmu Manusia @ Haiwan.

"Apa maksud Puan?" Tanya Si Pelukis dalam bahasa Melayu.

"Lupakanlah," katanya dalam bahasa Sepanyol.

Dua puluh minit kemudian, semua kerja siap.

Dahi Si Pelukis kedut seribu. Hatinya dipanahi sejuta anak panah macam watak lakonan Jet Li dalam filem Hero pada akhir cerita, sesudah dia tidak mahu membunuh Shih Huang Ti.

Setelah Si Pelukis termanggu-manggu selama beberapa minit, perempuan yang menjadi model itu mara dan melihat lukisan wajahnya.

Dia terlompat kegembiraan. Dia mencapai lukisan itu dengan kedua-dua belah tangannya sambil menari-nari, menyanyi dan berlari masuk ke dalam ruang tamu banglo istananya.

"Saya hairan," kata Si Pelukis kepadaku sewaktu bercerita. "Potret itu sebenarnya tidak menjadi. Usianya kukira 30-an, tapi katanya usia sebenarnya ialah 70-an. Tapi, lukisan itu menggambarkan wajahnya memang 70-an. Saya hairan, jari-jemari saya tidak melukis apa yang mata saya nampak. Tapi, apa yang hati saya nampak. Anehnya, wajah tua itu berlaku dalam sekelip mata. Sewaktu lukisan itu siap, wajah yang muncul ialah muda."

Si Pelukis pulang. Dengan meninggalkan lukisannya itu, dia dibayar USD2,500 tunai.

Ketika memandu kereta, akalnya terus-menerus berfikir.

Aneh benar kali ini. Inilah pertama kali saya melukis potret perempuan cantik. Jadi, memang jadi. Setengah jam sahaja. Tapi, apabila siap, lukisan yang menggambarkan perempuan muda seusia 30-an, bertukar sekelip mata menjadi tua. Lebih aneh lagi, model amat gembira. Gaya kegembiraannya itu, lukisan itu memang menggambarkan wajah mudanya.

Pada hari kedua, Si Pelukis mendapat undangan untuk melukis di sebuah rumah orang tua. Kata si pengundang, dia memerlukan potret seorang tua yang fotonya diberikan. Upahnya pun diberikan juga tunai. Juga USD2,500.

"Saya ke rumah orang tua di Kuantan seperti yang dimaksudkan," katanya kepada saya. "Sesudah meminta keizinan penguasa, juga orang tua yang saya panggil Pak Cik Chin, saya melukis. Kami berada di suatu sudut yang damai. Saya menggunakan masa kira-kira 30 minit juga. Siap sahaja lukisan itu, saya meminta Pak Cik Chin mara dan melihat lukisan itu. Bukan sahaja dia amat gembira, malah kawan-kawannya, penghuni di situ, Tun Mai Ulat Bulu, Mat Tahir, Mata Air dan apa nama 'apa nama'"

"Saya terkejut. Sewaktu mereka sibuk bercakap tentang keindahan potret itu, kononnya, keadaan ganjil terjadi lagi. Wajah Pak Cik Chin bertukar menjadi muda, dalam usia awal 20-an. Saya teringat akan filem lakonan Brad Pitt yang filem itu dihasilkan daripada sebuah cerpen, tentang manusia lelaki yang berubah mengundur � tua dan akhirnya menjadi kanak-kanak."

Si Pelukis terus mencari rezeki dengan melukis.

Hari ketiga dalam tahun 2009 bulan Oktober itu, Si Pelukis mendapat undangan daripada seekor serigala jadian yang boleh berkata-kata. Menerusi telefon bimbitnya, Si Pelukis mendengar suara si pemanggil.

"D si pelukis?"

"Ya."

"Betul nombor 016-9324001 ini milik tuan?"

"Dan tuan bernama Daeng?"

"Ya. Nama samaran."

"Tak mengapa. Asalkan nama manusia. Saya pun memakai nama manusia. Begini tuan. Saya merujuk persetujuan yang kita capai menerusi e-mel tempoh hari. Jadi, saya mahu menguatkan lagi persetujuan."

"Ya. Jadi �."

"Saya ingatkan, pagi esok. Saya tunggu di rumah yang beralamat seperti yang tertera dalam e-mel tuan itu. Harap tuan tidak hampakan saya."

"Mohon jangan panggil saya tuan. Saya tidak bercakap dengan kawan saya yang menjadi naib canselor itu, iaitu pencipta lagu Anak Kecil Main Api."

"Habis?"

"Panggil saya pak cik atau paman, sudah. Atau, embah. Asal jangan embah jamrong sudah, nanti jadi seperti watak-watak dalam novel karya Achdiat k.Mihardja, iaitu Atheis, novel berbahasa Melayu terbaik sejak dekad 1940-an hingga kini."

Si Pelukis itu terus bercerita kepada saya.

"Sampai sahaja di banglo itu, loceng dipicit," katanya. "Tiada sesiapa di situ. Tiba-tiba, seekor serigala jadian keluar dari ruang tamu dan menuju saya. Saya tercari-cari. Serigala jadian itu mendekati saya."

"Paman Daeng," kata anjing itu. Saya terkejut dan terjelepuk di atas rumput permaidani. Saya amati serigala jadian yang berbulu lebat itu. Dia bersuara lagi, saya yang bercakap menerusi telefon itu. Saya mula akur apabila yakin suara itu keluar dari mulut atau alat artikulasinya, bukan daripada kaset yang terakam dan diikat tersembunyi pada tubuh serigala jadian itu.

"Kerja-kerja melukis dilakukan," katanya kepada saya selamba. "Bayangkan, manusia pelukis sepertiku jadi pekerja dan ikut kata serigala jadian. Anehnya, serigala jadian itu tidak boleh bercakap bahasaku, tapi bercakap bahasa Antaberanta. Tidaklah fasih, macam Bangla. Beratus perkataan diujarkannya, kita hanya faham 10%. Selebihnya, Allah sahaja yang faham. Yang mengujarkannya pun tidak faham."

"Saya melukis. Dan, serigala jadian itu akur. Berdisiplin.

"Seperti biasa, selepas setengah jam, dia meminta untuk melihat potretnya. Saya membenarkannya. Siap. Memang siap. Seekor serigala jadian. Syukur kepada Allah SWT. Lukisan itu menjadi.

"Lihat sahaja gambarnya siap, serigala jadian itu menjerit keseronokan. Hurey, hurey, lukisan saya cantik, katanya berulang kali.

"Setelah puas terkinja-kinja, dia meminta saya menunggu. Katanya, dia mahu menyediakan minuman, tetapi orang gajinya, bibi Indon bercuti ke London. Mahu disediakannya, tapi tidak disudikan. Jadi, dia mengambil bayaran.

Saya dibayar tunai USD2,500.

Saya bertanyakan kerjayanya. Katanya, dia sudah jutawan. Tidak perlu bekerja, sebaliknya hidup atas faedah wang simpanan di Bank Swiss. Dahulu katanya, dia seorang daripada beberapa penghulu di negara Antaberanta."

Si Pelukis ke Makkah pada bulan Januari 2010. Di hadapan Kaabah, dia berdoa. Antara doanya, ada kaitan dengan syafaat Rasulullah SWT. Disebut hatinya, ya Allah, ya Rasulullah, berikanlah umat Muhammad rahmat dan nikmat pada setiap malam dan jauhilah bala pada setiap malam itu.

Oleh daengramliakil@yahoo.com

INFO:DAENG Ramli Muhammad Akil atau lebih dikenali sebagai Daeng Ramliakil adalah seorang penulis, pelukis, pelajar sambilan Sarjana Sastera di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) dan pernah berkhidmat sebagai pengkaji@penulis teks ucapan menteri. Beliau boleh dicapai di http//radenmasyahid.blogspot.com dan http://daengramliakil.blogspot.com.

Koleksi Cerpen : Nasi Kerabu Emak

Sedapnya nasi kerabu masakan emak. E Ding selalu mengeluh puas setiap kali pulang ke kampungnya di daerah Tumpat. Nasi kerabu yang dimasak air perahan daun-daun dan akar kayu yang dikutip di dalam hutan itu, setelah ditumbuk dan diperas memang harum dan enak. Terutamanya ketika musim hujan, setelah habis makan nasi kerabu, badan akan merasa panas dan dapat tidur dengan nyenyak.

Ketika tinggal di kampung, masuk sahaja musim hujan, emak akan keluar untuk mengutip daun-daun dan menyediakan nasi kerabu. Setelah bekerja di kota, E Ding jarang dapat merasa nasi kerabu masakan emak. Bukan setakat kerana bekerja di kota dan jarang pulang, tetapi pohon-pohon yang boleh dijadikan bahan nasi kerabu semakin jarang. Pohon-pohon itu habis ditebang tebas kerana banyak kawasan belukar dan hutan sudah dimajukan. Kiranya mahu mencari daun-daun dan akar kayu untuk membuat nasi kerabu, terpaksa berjalan lebih jauh dan masuk ke kawasan hutan yang lebih jauh dan dalam. Emak E Ding yang semakin tua juga semakin tidak larat berbuat begitu. Bagaimanapun, setiap kali E Ding dan adik-adiknya pulang, emak tetap menguatkan badannya yang semakin lesu dan berusaha menyediakan masakan itu demi memuaskan nafsu makan E Ding dan adik-adiknya.

Disuruh E Ding dan adik-adiknya mencari daun-daun dan akar kayu, pastinya tidak berhasil. Mereka yang menumpukan sepenuh perhatian di sekolah tidak pernah mengikut emak ke hutan atau belukar. Mereka juga tidak membantu emak setelah emak pulang daripada mencari daun-daun dan akar kayu. Kadang-kadang ketika mereka tergerak untuk membantu juga, emak akan menyuruh mereka menumpukan perhatian dalam pelajaran. Kerana itu, kiranya memetik sejenis dua daun-daun nasi kerabu, mereka masih mampu. Disuruh mencari kesemua 30 atau 50 jenis daun, mereka tidak yakin. Kiranya salah mengenal daun, tentunya parah akibatnya. Tersilap pilih daun-daun dan akar kayu, pastinya mabuk atau sakit perut setelah dimakan. Yang lebih teruk lagi, mungkin kena masuk hospital akibat keracunan makanan. Tidak seperti emak dan mak cik-mak cik mereka, generasi E Ding bukan lagi generasi lama, mereka sudah menjadi orang kota generasi baru yang tidak lagi berjinak-jinak dengan tradisi kampung.

E Ding tidak seperti adik-adiknya, E Ding dikatakan lebih serasi dengan kehidupan di kampung. Setiap kali cuti, dia akan mencari rebung dan ulam-ulam bersama-sama emak. Sekurang-kurangnya dia kenal daun tenggek burung, serom atau ulam raja. E Ding juga kenal kulat-kulat yang boleh dimakan. E Ding akan turun ke sungai atau sawah untuk menahan ikan air tawar. Paling tidak pun, dia akan membantu emak memberi makan ayam-ayam belaan emak yang dibiarkan lari berkeliaran. Tetapi, cara hidup begitu dia tetap terpaksa lepaskan setelah tamat cutinya.

E Ding tidak boleh menolak peredaran zaman. Kerja di kota menjanjikan pendapatan yang lebih lumayan. Bekerja sendiri di kampung hanya dapat menyara hidup, tetapi tidak menjamin kehidupan yang lebih mewah. Rumah kampung emak yang diperbaiki dan ditambah luas, juga hasil pendapatan E Ding di kota. Semua itu adalah realiti kehidupan. Dia terpaksa melepaskan sesuatu untuk mengejar sesuatu. Semua itu adalah pertukaran atau dalam istilah perdagangan adalah sejenis trade off.

E Ding hanya cuba pulang ke kampung sekerap yang dia boleh. Dia bahagia setiap kali pulang ke kampung. Tetapi, dia terpaksa memisahkan diri daripada kehidupan bahagia itu setelah tamatnya cuti. Dalam kehidupan, kita bukan dapat memiliki kesemuanya. E Ding memberitahu dirinya. Akhirnya, ketika bercuti E Ding segera pulang ke kampung dan setelah tamat cuti bergegas balik semula ke kota sudah menjadi satu rutin kehidupan E Ding. Bagaimanapun, bagi E Ding, kehidupan begitu adalah kehidupan yang cukup bahagia. E Ding tidak keberatan pulang ke kampung dan tidak keberatan untuk balik semula ke kota. Tidak kira sesibuk mana kerjanya dan sepenat mana perjalanan pergi baliknya, E Ding tetap tidak berganjak.

Namun, itu adalah peta kehidupannya lebih sepuluh tahun yang lepas. Setelah tanah pusaka emak diberikan kepada salah seorang adik lelakinya, E Ding tidak pulang ke kampung lagi. E Ding bukan marah kerana tanah itu tidak diberikan kepadanya. Alasan emak untuk memberikan tanah pusaka kepada adik berasas juga. Kata emak, “Tinggi pelajaran kamu, adik kamu tinggi pelajarannya. Aku berikan tanah itu supaya dia dapat menyara diri.”

Memang supaya ibu bapa sayangkan anak dan supaya semua anak-anak dapat menyara diri, ibu bapa akan mencuba sedaya upaya - yang pandai bersekolah diberikan peluang menuntut ilmu pelajaran, yang tidak pandai bersekolah diberikan modal untuk berniaga. Wajarlah adiknya yang tidak pandai bersekolah dan berniaga, diberikan sebidang tanah untuk diusahakan. Tidak salah emak berbuat begitu.

E Ding hanya marah kerana adik kemudiannya menjualkan kampung pusaka itu kepada Cina bandar dan emak tidak membantah. Mungkin emak membantah, tetapi E Ding tidak ingin mendengar sebarang penerangan lagi. E Ding marah-marah setelah mengetahui kejadian itu. Katanya, “Kalau aku yang mewariskan tanah pusaka itu, tentunya aku tak sampai hati untuk menjual.” E Ding cukup kecewa. Dia kecewa dengan emak dan adik, tetapi dia tidak pasti apa yang dikecewakannya. Yang pasti, dia enggan ambil tahu lagi. Kerana itu, E Ding sudah lama tidak pulang ke kampung. Bukan sekadar hari cuti biasa E Ding tidak pulang, bahkan ketika perayaan Wat dan hari raya pun dia tidak pulang.

E Ding tiba-tiba teringat beberapa hari yang lalu salah seorang adik perempuannya menghubunginya dan berkata, “Abang, sudah lama kita tak pulang. Dengar kata Wat dekat rumah kita akan mengadakan majlis keramaian. Pada hari keramaian itu, banyak sekali makan kampung disediakan. Aku teringin sekali hendak pulang. Abang bagaimana pula?”

Tindak balas pertama E Ding adalah menolak pelawaan adik perempuannya. “Aku sibuk.” Katanya, “Aku baru beli rumah. Rumah itu perlu diperbaiki.”

Setelah beberapa hari berlalu, E Ding tiba-tiba terasa amat rindukan masakan kampung, terutamanya nasi kerabu. Beberapa hari yang lepas, E Ding telah pergi ke Shah Alam, Subang Jaya dan Kelana Jaya untuk mencari nasi kerabu. E Ding membeli nasi kerabu biru dan nasi kerabu kuning, tetapi nasi kerabu berwarna hijau tumbuh-tumbuhan itu, E Ding tidak jumpa-jumpa juga. Salah seorang peniaga yang menjual masakan kampung Kelantan mendakwa menjual nasi kerabu yang diperbuat daripada air akar kayu dan daun-daun. Ketika E Ding sampai, nasi kerabu yang didakwa itu, langsung tidak seharum dan seenak nasi kerabu masakan emak.

Perempuan muda yang menjual nasi kerabu itu berkata, “Kita di Kuala Lumpur susah nak jumpa daun-daun dan akar kayu seperti di kampung ....”

Alasan itu memang alasan yang logik dan masuk akal. E Ding membalas dengan anggukan bermakna dia mengerti.

Setelah pulang, beberapa hari E Ding berlagak tidak menentu. Rindukan nasi kerabu mungkin bukan sebab utamanya. E Ding mulai sedar, dia juga merindukan kampung, kawan-kawan dan saudara maranya di kampung, terutamanya emak. Sudah lebih kurang 10 tahun dia tidak menghubungi emak, E Ding hanya mendengar berita emak daripada adik-adiknya yang sesekali masih menghubunginya. E Ding tahu emak masih sihat. Tetapi, E Ding juga tahu, ancaman usia sudah menyebabkan badan emak semakin lemah.

“Bagus juga kalau kita pulang.” Bukan sekali adik-adik E Ding mengajak.

“Baiklah.” Akhirnya E Ding bersetuju.

Dengan kereta empat rodanya, E Ding membawa isteri dan anak-anaknya. Kedua-dua adik perempuannya juga berkereta. Masing-masing pulang membawa ahli keluarga. Sepanjang jalan pulang, E Ding perasan terlalu banyak yang telah berubah. Lebih banyak bangunan sekarang. Jalan-jalan juga semakin sempit. Mereka berpecah ketika sampai di Kota Baru. Adik-adik E Ding meneruskan perjalanan dan E Ding memilih untuk menginap di sebuah motel di Kota Baru. Dia enggan tinggal di rumah sekali pun dipujuk adik-adiknya beberapa kali. E Ding hanya berkata, “Penat berkereta. Lebih baik aku bermalam semalam di Kota Baru. Lagi pun, kita ramai sangat dan rumah kita sempit. Pastinya tak muat nak tidur.”

Keesokan harinya, E Ding baru meneruskan perjalanan. E Ding tidak mahu terus pulang ke rumah. Dia mahu ke Wat dulu. Kemudian baru pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan, hati E Ding berdebar-debar. Jantung E Ding meloncat kencang. Kampung E Ding jelas sudah berubah. Semua pemandangan dan tempat yang pernah dikenali E Ding, sudah mulai asing sekarang. Ketika membelok masuk ke kawasan kampung, E Ding hampir sesat jalan. Dia terpaksa bertanya beberapa kali, baru sampai ke Wat tempat tujuannya.

Wat itu sudah penuh dengan pelawat. Pengunjung ke Wat itu bukan setakat orang kampung E Ding, bahkan ramai lagi orang luar. Wat itu memang cukup tersohor sekarang. E Ding cuba mencari wajah-wajah yang dikenalinya, tetapi jelas dia gagal dan kecewa. E Ding mencari nasi kerabu. Antara makanan yang disediakan di Wat itu, memang termasuk nasi kerabu. Nasi kerabu itu seperti dengan nasi kerabu yang disediakan emak. Tetapi, sekali pun E Ding mengambil kesemua jenis ulam dan digaulkan, rasanya tidak seperti dengan nasi kerabu yang disediakan emak.

Petangnya, E Ding baru nampak batang hidung adik-adiknya. Adik-adiknya datang dengan adik lelaki bongsu E Ding yang menjual tanah pusaka. Adik lelaki bongsu E Ding menundukkan kepala ketika melihat E Ding.

“Abang ...” Bersimpul lidah adik E Ding di depan abangnya.

E Ding tidak berkata apa-apa. Dia hanya merenung wajah adiknya. Rambut adik sudah beruban. E Ding tahu, rambutnya juga sudah beruban. Adiknya juga kelihatan amat kurus sekali. Dari pakaian adik, jelas kehidupan adik agak terdesak.

“Marilah kita balik.” Kata E Ding. “Emak tentunya sudah menunggu.”

Ketika itu, rasa marah E Ding sudah berkurangan.

Petang itu, mereka pulang bersama-sama ke rumah. Rumah peninggalan nenek moyang mereka jelas sudah terlalu tua dan usang. Rumah itu kelihatan kecil sekali. Jelas adik yang tinggal dengan emak tidak berupaya memberikan kehidupan yang selesa kepada emak.

Ketika E Ding pulang, dia nampak emak sudah terlantar di atas katil di ruang tamu. Nampak E Ding masuk, emak cuba bangun. E Ding cepat-cepat bergegas ke depan katil emak. E Ding memapah emak.

“E Ding ...” Emak berkata, “Jangan salahkan adik kamu ... aku .. aku ... aku ....”

“Bukan kata emak masih sihat?” Tanya E Ding.

Salah seorang adik perempuan E Ding menyampuk, “Emak dengar kata kamu pulang, dia terus ke hutan untuk mencari daun-daun dan akar kayu untuk menyediakan nasi kerabu. Ketika pulang tadi, dia terjatuh ....”

“Kenapa sampai nak pergi cari daun-daun dan akar kayu?” Tanya E Ding. Dadanya terasa sebak.

“Kamu suka makan nasi kerabu masakan emak.” Kata emak. “Kamu sudah lama tak pulang. Kamu pulang, tentunya aku nak sediakan nasi kerabu ....”

E Ding merangkul tubuh emak. E Ding merasa cukup terharu sekali.

“Sebenarnya, emak sayangkan kesemua anak-anak emak.” Kata emak, “Semuanya anak emak. Semuanya serupa.”

“Aku yang tak berguna.” Kata adik. “Aku cuba berniaga. Tapi, aku gagal. Jadi aku terpaksa menjual tanah untuk membayar hutang.”

E Ding menepuk-nepuk belakang adiknya. Semua itu tidak penting lagi. Dia sudah pulang dan dia sudah maafkan adiknya. Dia juga tidak marah lagi kepada emak. Kiranya dikatakan marah, mungkin lebih tepat lagi kalau dikatakan dia merajuk. Dia merajuk kerana emak tidak memberitahunya tujuan emak menyerahkan tanah itu kepada adik. Dia juga merajuk kerana adik tidak berunding dengan dia ketika menjual tanah.

Tetapi, semuanya sudah berlalu.

Petang itu, mereka adik beradik berunding bagaimana untuk menebus balik tanah pusaka mereka. Mereka juga membincang bagaimana untuk membantu adik bongsu mereka untuk berniaga secara kecil-kecilan. Rumah pusaka ini, juga harus diperbaiki.

Malam itu, keluarga mereka bersimpuh di ruang tamu sambil makan nasi kerabu buatan emak. Rasa nasi kerabu buatan enak memang enak. E Ding merasa amat puas sekali. Masakan emak pun tidak jauh bezanya dengan masakan di Wat. Tetapi, masakan emak lebih enak kerana masakan emak juga penuh dengan kasih sayang seorang emak terhadap anak-anaknya. Masakan emak adalah masakan yang mengandungi kasih kekeluargaan yang tidak akan terputus tidak kira apa yang terjadi.

Oleh Lee Keok Chih


INFO: Penulis

LEE Keok Chih atau nama penanya nama Ardi Amin dilahirkan pada 28 April 1962 di Selising, Kelantan. Mendapat pendidikan awal di SRJK (C) Khay Boon di Rantau Panjang sebelum meneruskan pelajarannya di Sekolah Menengah Rantau Panjang. Membabitkan diri dalam dunia kesusasteraan sejak di sekolah rendah dan beberapa karyanya mendapat tempat dalam majalah Dewan Sastera ketika masih di Tingkatan Empat. Penerima biasiswa daripada Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) untuk melanjutkan pelajaran dalam Jurusan Kejuruteraan Marin dan jawatan jurutera perkapalan yang disandangnya, membawanya mengembara ke serata dunia. Cerpen dan puisi lulusan Kejuruteraan Marin Kelas Pertama dan Sarjana Teknologi Maklumat ini mendapat tempat dalam Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Bacaria, Watan, Mingguan Wanita, Utusan Pengguna, Utusan Zaman, Mastika, Jelita, Dewan Siswa, Dewan Sastera dan Dewan Masyarakat.

Antara kumpulan puisinya Di Pinggir Semenanjung dan Sepi Seorang Pelaut, manakala kumpulan cerpen persendiriannya, Insomnia. Lee pernah memenangi Hadiah Sastera Sin Chew Jit Poh, Hadiah Sastera Utusan - Public Bank dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia, turut menulis novel dan novelnya, Cinta dan Dendam yang menggunakan nama Ardi Amin diterbitkan Karangkraf (M) Sdn. Bhd. Beliau kini bertugas dengan syarikat perundingan yang berpusat di negeri China.

Cerpen Online: Senja Sudah berlalu

Pinggan yang berisi nasi, sedikit sayur kubis dan sepotong ikan kayu yang digoreng garing dipandang tanpa nafsu. Hanya sirap dingin yang menerobos masuk ke kerongkongnya. Sepotong tembikai kuning dicucuk-cucuk menggunakan garpu. Hatinya terasa pedih. Ironinya di hadapan dia saat ini hanya sepotong tembikai; bukan hatinya.

“Makan cepat, masa makan sudah hampir tamat.” Seorang lelaki separuh umur menegur sambil menepuk perlahan bahunya.

Dia mengangkat wajah. Lelaki itu diamati lama. Berkaca mata seperti bingkai gambar di kedai foto, lebih banyak kulit kepala kelihatan berbanding helaian rambutnya, perutnya seperti wanita mengandung lima bulan, atau tujuh bulan agaknya (dia sendiri kurang pasti), berbaju dan berseluar putih, namun dia tertarik dengan gigi lelaki tersebut; putih dan tersusun cantik.

Dia kemudian bangun. Nasi yang masih belum terusik dipandang sayu. Lagak seperti pejuang memandang isteri tersayang sebelum ke medan tempur. Halkumnya turun naik menelan liur. Selera yang hilang entah ke mana membuatkan tekaknya seakan mahu menunjal keluar andai dia memaksa untuk menelan. Dia mula melangkah.

“Pergi masuk ke bilik, jangan merayau. ” Suara lelaki tadi agak lantang. Dia hanya mengangguk. Saat ini dia terbayangkan katilnya yang bercadar putih bersih. Dia mahu berehat. Langit mendung seolah-olah memahami derita hatinya. Guruh berdentum, kilat sabung-menyabung. Titik-titik hujan mula membasahi bumi. Bertempiaran lari semuanya. Dia kehairanan. Bukankah hujan satu rahmat? Bukankah hujan satu keindahan? Pohon dan alam akan bertasbih memuji kebesaran Pencipta. Hujan juga lambang kesenian; bagi pencinta seni.

Dia masih di situ. Tubuhnya kian lencun dek deraian hujan yang kian menggila. Titik-titik hujan ini mengingatkan dia tentang dosa semalam. Biarlah air suci ini membasuh noda di tubuhnya. Irama yang lahir daripada dentuman guruh dan rintik yang menimpa bumi membuai jiwanya. Damai dan mengasyikkan.
Julia Nazri

“Kamu ini manusia hipokrit! Berpura-pura di balik topeng kemanusiaan!” Suaranya keras. Namun tiada sesiapa yang mendengar. Masing-masing sibuk mencari tempat untuk berlindung.

“Cuba kamu tanya pada diri. Kehadiran kamu di atas muka bumi ini untuk apa? Adakah kamu boleh merubah sebuah kesengsaraan? Boleh memberi harapan pada sebuah kehidupan? Bolehkah? Manusia bodoh!” Herdiknya lagi.

Guruh berdentum lagi bagai mengiringi kata-katanya. Umpama sebuah pentas opera yang lengkap dengan simfoni orkestranya. Ironinya saat ini dia sedang melakonkan watak dari pentas kehidupan yang nyata. Bukan ilusi fatamorgana. Matanya dikerdipkan. Jemarinya meraup wajah yang kebasahan. Bukan kerana deraian hujan. Namun dek air mata yang laju menuruni pipi. Sesekali tersekat dek jerawat batu yang meliar di wajahnya. Titis-titis kemudian berakhir di hujung janggutnya yang separas dada.

“Manusia macam kamu semua ni ibarat enau dalam belukar! Memijak dan menindas. Kamu tidak fikir nasib orang-orang yang kamu dagangkan. Pergi jahanam dengan manusia yang berakarumbikan haloba. Kamu umpama mengunyah daging saudaramu sendiri! Manusia keparat! ” Bibirnya dijuihkan. Tanda kebencian yang amat sangat. Matanya dicerlangkan. Bagai harimau mahu membaham mangsa.

Digagahinya menghayun langkah yang kian tidak bermaya. Bibirnya kebiruan. Tubuhnya menggigil kesejukan. Kakinya yang telanjang tanpa disalut secebis apapun sesekali terdengkot-dengkot. Kepedihan dek kerikil tajam yang tanpa simpati merobek kulitnya. Sedikit pincang caranya melangkah.

Dia menyanyi lagi. Kali ini lebih nyaring, lebih lantang. Dia tidak menghiraukan mata-mata yang memandang. Suara-suara sumbang yang tidak senang dengan kehadirannya tidak diendahkan. Dunia ini bukan milik sesiapa. Dia anak merdeka. Bukan lagi hidup dalam belenggu angkara. Mereka itu yang sebenarnya masih terjajah hati dan minda. Terkurung di bawah kaca, nampak di mata, namun tidak tercapai dek tangan. Sanggup bertopeng untuk mencapai maksud dan cita. Sering terpesona dengan ilusi fatamorgana. Sedang realiti tidak seindah yang disangka.

‘Aku juga pernah seperti kamu’ Dia bermonolog sendiri.

Hujan mula teduh. Manusia yang tadinya bagai takut-takut untuk melata di bumi, kini kembali memenuhi ruang. Ada yang menekup hidung dan ada yang berjalan terjengket-jengket. Yang menekup hidung; Loya dengan haruman ‘asli’ yang terbit dari longkang-longkang tersumbat. Yang terjengket-jengket; bimbang andai kasut atau pakaian berjenama mahal terkena kotoran dek limpahan air longkang.

Sampah sarap yang berbagai rupa tenggelam timbul menunjuk diri. Bukti pada kedangkalan dan kedaifan insan yang bernama manusia. Semua membutakan mata dengan apa yang terhidang. Ada yang berbisik-bisik. Tidak kurang yang menggeleng. Konon suci. Tidak terlibat langsung dengan apa yang terjadi. Manusia hipokrit! Bentaknya.

Bukankah manusia yang terbenih daripada generasi yang kononnya berilmu, berkualiti, berwawasan dan bakal menjadi peneraju negara sepatutnya boleh membuat keputusan tentang ‘baik’ dan ‘buruk’? Membuang sampah merata-rata; baikkah itu? Hujan yang menyimbah disalahkan bila banjir besar berlaku. Tunding-menunding mula berlaku. Tidak sedar yang satu jari ke arah orang lain, empat lagi jari menunding ke arah diri sendiri. Lagak seperti meludah ke langit, akhirnya ludah jatuh ke muka sendiri. Dasar manusia hidung tinggi. Bangga dengan kebodohan sendiri. Bolehkah mereka ini bersatu? Bolehkah?

Dia berjalan ke arah pondok menunggu bas yang kosong. Dia melabuhkan duduk. Tapak kakinya terasa pedih. Bekas luka dek tujahan botol kaca kembali berdarah. “Kerana terpijak kerikil tadi agaknya.” dia mengeluh sendiri. Dia menyumpah manusia yang sembarangan membuang botol kaca yang pecah.

Terpandang longkang yang membuak busuk membuatkan jiwanya makin sakit. Semalam dia terbaca tentang pembinaan terowong untuk mengelak banjir. Dia hanya tersenyum sumbing. Walau berjuta terowong atau tangki tadahan yang dibina, jika pemikiran dan jiwa manusia masih berada di takat lama, semuanya tidak bererti. Bukit ditarah, hutan digondol, kononnya membina pembangunan. Namun hasilnya tetap kemusnahan. Dia bukan antikerajaan. Bukan juga pembenci kemasyhuran. Dia hanya pemerhati. Entah esok atau lusa dia akan kembali ke alam yang sebenar. Alam yang tiada wasangka.

Dia benci dengan manusia yang berbolak-balik. Dia muak dengan manusia yang tidak mahu mengakui kesalahan diri. Things do not happen. Things are made to happen: Kata-kata John F Kennedy ada benarnya.

Dia ingin memberontak. Dia mahu menentang. Bila difikirkan kembali; Apa yang diperjuangkannya? Apa yang dituntutnya? Dia menekur. Lama. Berfikir sebenarnya. Mencari jawapan pada persoalan yang dia sendiri masih kabur untuk memahami. Dia bingung. Diramas rambut yang kebasahan. Perit dirasakan hingga ke kulit kepala. Dia ingin melempar jauh perasaan gundah yang bertandang. Namun terselit satu rasa di benaknya; untuk apa ketidakpuasan hati ini andai tidak dilontarkan?

Dikeluarkan buku nota kecil berwarna hitam dari bundutan yang berwarna biru tua (sehelai kot lama yang diikat menjadi bundut) hampir lunyai kerana kebasahan. Tekun dia menyelak satu persatu helaian yang kelusuhan. Dia bukan pendeta. Jauh sekali seorang ahli falsafah atau pujangga. Dia tidak mampu membuai perasaan bagi yang membaca baitannya. Dia hanya seorang pemuja. Dia mencari pedoman buat mengharungi badai kehidupan.

Hidup ini satu perjuangan. Kalau tidak berjuang menggunakan senjata, berjuanglah menggunakan akal atau pena : Amir Shakib Arselan.

Dia berpegang pada kata-kata itu. Kerana itu dia suka menulis. Meluahkan apa yang dirasakan. Baginya cinta tidak semestinya bersatu. Namun dia tetap mengagungkan kalimah keramat itu. Hidup tanpa cinta seperti unggun api yang tidak pernah menyala; entah di mana dia pernah mendengar kata-kata ini.

Retinanya memerhati seekor katak hitam yang terlompat-lompat tanpa arah. Sesekali menguak. Tidak puas agaknya bermandi hujan. Nasib dia dan nasib si katak serupa. Tiada teman, tiada haluan, tempat mereka bukan di sini. Bukan di tengah kota raya ini. Bas berbelang biru yang datang laju tanpa kasihan menggelek si katak yang hampir menjadi temannya. Dia bangun. “Hei! kenapa kaulanggar kawan aku ha? Manusia keparat! ” Pekiknya.

Dia sedar yang dia menjadi perhatian. Manusia memang begitu. Kain orang dijaga, kain sendiri berlubang seolah dibangga. Dia mencebik. Si katak sudah tiada. Perutnya pecah. Kuakannya juga sudah tidak kedengaran. Dia sendiri lagi. Manusia di sekeliling hanya menggeleng. Mungkin kehairanan. Mungkin kasihan. Mungkin kebencian. Ah! persetankan itu semua! Dia membentak.

Tekaknya sedikit perit. Dahaga. Dari celahan bundut dia menarik botol plastik yang berisi air kosong. Tidak sampai suku botol. Dia meneguk rakus. Cukup sekadar membasahkan tekak. Cebisan karipap yang berbungkus plastik dicapai. Lahap kunyahannya. Masih belum hilang dahaganya. Perutnya mula berkeroncong. Dia meraba saku bajunya. Hanya dentingan syiling yang kedengaran. Dia mendengus kuat. Seingatnya dia masih punya wang. Hampir tiga puluh ringgit. Namun kerana panas hati, dia telah melempar kesemua duitnya ke muka peniaga gerai. Marah kerana layanan buruk yang diterimanya. ‘Mereka sangka aku tidak punya duit agaknya’ bentaknya kasar. Mereka menilai dia hanya kerana wajahnya hodoh dan pakaiannya compang-camping. Sesiapa yang tidak berfikir panjang, kesusahan telah tersedia di hadapan : Kong Hu Chu. Hari ini dia terlupa pada falsafah yang selalu dibacanya. Dia menggeleng. Mudah benar dia dibuai bisikan iblis. Amarah mengatasi kewarasan akal. Dia tewas hari ini. Raqib dan Atid sudah menuliskah agaknya?

Di hadapannya tersergam rangka bangunan yang masih dalam pembinaan. Manusia yang lain benar bahasa pertuturannya mula mengerumuni pondok bas. Ini pun salah satu daripada kebanjiran. Dia mencebik lagi. Bukan membenci. Namun jelak dengan segelintir yang tidak tahu menghargai budi. Mengambil kesempatan di atas kebaikan kerajaan. Bunuh, rogol, rompak dan peras ugut terlalu banyak membabitkan pendatang seperti mereka. Mungkin tidak semua. Dia bangun. Tidak betah dia berlama-lama di situ.

Matanya meliar mencari pili air. Tekaknya masih dahaga. Dia menyeberang ke kiri jalan. Mencari tandas awam. Tekaknya makin mual dengan bau yang mencemar rongga. Manusia bodoh! Bentaknya. Tandas yang sepatutnya dijaga, sebaliknya dirosakkan. Memang manusia tidak bertamadun! Sumpahnya lagi. Pintu yang terkopak, sinki dan cermin yang dipecahkan, dinding penuh dengan luahan perasaan dan yang paling jijik; najis yang dibiar tanpa dicuci. Memang manusia keparat! Hinanya lagi. Niatnya mahu mengambil air untuk diisi ke dalam botol dibatalkan. Kembang tekaknya.

Harga setiap manusia adalah kebaikan yang dilakukannya: Saidina Ali

Manusia yang tidak punya iman tidak akan pernah memahami kata-kata hikmah sahabat Rasulullah. Walau agama apa pun yang dianuti, kebersihan adalah tunggak utama. Tidak ada agama yang suka kepada kekotoran dan kemusnahan. Memang manusia zaman ini sudah tidak lagi mampu berfikir dengan baik. Manusia bodoh! Ulangnya lagi.

Dia melangkah keluar menuju ke paip di depan surau. Botol yang kosong diisi penuh. Warna air yang kekeruhan tidak menghalangnya daripada meneguk rakus. Menyeringai apabila kepayauan mula bersatu dengan rongga rasanya. Dicepakkan mulutnya. Serasa mahu dimuntahkan kembali.

Masih ada mata-mata yang memandang. Seolah jijik dengan keadaan dirinya. Dia menekur. Kaki yang tidak bersepatu. Penuh dengan kudis dan kuku yang panjang kehitaman. Seluar yang compang-camping, baju kemeja yang dulunya putih bertukar kehitaman, rambut yang berombak kasar tidak bersikat; penuh dengan kutu, wajah yang berjerawat batu, jambang yang meliar, tubuh yang hanya terbonjol tulang berbanding isi. Dia senyum. Terlihat tunggul gigi yang kekuningan. Masih ada lendir saki-baki karipap yang tidak terhadam oleh giginya. Memualkan sesiapa yang terpandang.

Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu dan bentuk tubuh kamu, tetapi dia melihat kepada hati kamu dan amalan kamu: Sabda Rasulullah saw.

Mereka kata dia gila. Sebab itu dia tidak mementingkan kebersihan diri. Gilakah dia? Tubuhnya tiba-tiba bergoyang (lebih tepat seperti digoyangkan).

“Bangun. Pergi mandi. Dah petang ni.” Matanya masih berat untuk dibuka. Seorang lelaki berjambang nipis memandangnya tajam. Dia tersentak. Bingkas dia terduduk. Dia meraba wajahnya. Tidak ada lagi janggut dan jambang meliar, rambutnya tidak lagi berombak; dicukur botak, kukunya juga telah dipotong bersih. Pakaiannya juga putih bersih. Matanya melingas memerhati sekeliling. Yang ada hanya katil yang tersusun kemas. Dia bingung. Lama dia diam. Dia baru tersedar; semalam adalah senja terakhir dia sebagai pengembara. Masih terbayang wajah bengis abang-abang berbaju biru yang memaksanya menaiki trak hitam gelap. Kerana itu dia di sini. Dia bukan lagi seorang pengembara. Tidak ada lagi suara sumbang yang akan mengganggu keheningan senja, tidak akan ada lagi suara sayu yang melagukan senandung kehidupan, tidak akan ada lagi. Yang ada hanya kebisuan. Yang tinggal hanya sebuah penyesalan. Senja yang dulu sudah berlalu.

Oleh Julia Nazri


Profil Penulis:

JULIA Nazri yang dilahirkan pada 2 Julai 1982 adalah pendatang baru dalam dunia penulisan kreatif negara ini. Beliau pernah mengikuti bengkel kursus penulisan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah bimbingan Saudara Zaharah Nawawi. Juga [ernah mengikuti bengkel Penulisan Skrin anjuran Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) di bawah bimbingan Saudara Martias Ali. Berkhidmat sebagai Pembantu Khidmat Pelanggan di Tenaga Nasional Berhad Petaling Jaya. Anak jati perak dan kini menetap di Petaling Jaya, Selangor.

Cerpen: Tiga Kuntum Hujan

Kuntum 1

KAMI dikejutkan oleh bunyi.


Bunyi itu tidak nampak, sukar dinyatakan sebesar mana saiznya. Namun jika juru gambar sempat merakam wajahnya, boleh jadi bunyi itu sama besar dengan bukit di hadapan rumah kami. Semua orang tercari-cari di mana bunyi bersembunyi setelah kedengaran suaranya. Masing-masing bergegas keluar dari kepompong rumah.

"Mana bunyi itu," jerit seseorang, entah apa namanya. Tidak perlu lagi mengetahui nama seseorang di tengah kelam-kabut begini.

Orang semakin ramai keluar di hadapan deretan rumah kami. Masing-masing mencari bunyi.

"Tengok sana!" jerit seorang perempuan yang juga tidak perlu dinyatakan namanya di sini. Yang penting adalah suara jeritannya, bukan lagi siapa yang menjerit.

Kami memandang ke arah yang ditunjukkan oleh perempuan itu.

"Mana? Mana?" Entah suara budak lelaki mana yang bertanya itu.

Tidak siapa yang pedulikan kepada pertanyaan itu. Kami hanya mahu mencari suara tadi. Kami mahu mencari apa yang ditunjukkan oleh perempuan itu.

Ada seorang lelaki berbaju merah meluru ke balik bukit.

"Ikut dia!" jerit seorang lelaki lain yang ada bersama kami.

Kami beramai-ramai berlari. Tidak ada siapa yang tahu apa yang dikejar. Kami mengejar lelaki itukah atau mengejar bunyi yang kami cari sebelum ini. Derap tapak kaki kedengaran hebat sekali. Kami hanya mahu melihat bunyi. Bunyi mahu lihat bunyi yang bergegar tadi. Kami mahu tangkap sayap bunyi itu. Jika dia ada paruh, kami mahu ikat paruhnya.

"Waooooo!" Tidak dikenali siapa yang memuntahkan suara itu. Ini raung ketakutan.

Kami sampai ke tempat yang dituju. Kami berdiri memandang apa yang ada di hadapan kami. Tidak ada bunyi di situ. Semua orang tidak melihat bunyi.

Kami melihat bangunan tinggi di lereng bukit telah ranap. Bunyi kuat tadi tidak ada. Kami percaya bunyi itu telah melarikan diri. Yang ditinggalkan oleh bunyi itu ialah runtuhan bangunan.

Dahulu kala sebelum bangunan tinggi terpacak di lereng bukit itu, lima belas batang pokok besar tumbang di situ satu demi satu. Pokok itu kami lihat mempunyai akar tunjang yang panjang dan kuat. Namun pokok-pokok itu tumbang kerana keadaan cerun yang agak curam. Dahulu kala, orang tua kami selalu berpesan agar jangan dirikan rumah di lereng mana-mana bukit, nanti tubuh bukit akan senget. Bila tubuh bukit akan senget, akan berlakulah petaka alam. Petaka alam boleh mendatangkan maut secara tiba-tiba.

Kini kami menyaksikan bangunan yang mewah dan megah telah ranap ke bawah cerun. Esoknya, surat khabar melaporkan 88 orang meninggal dunia, 44 orang lelaki, 44 orang perempuan. Semua pihak telah membuat laporan awal punca kejadian bangunan runtuh di lereng bukit itu.

Semua jari menuding kepada "Hujan".

Kemudian semua pihak bersedap-sedap dengan menghirup kopi masing-masing.

Kami temui bunyi yang kami cari. Bunyi inilah yang kami takuti selama ini. Dahulu kala, kami sudah hantarkan beberapa pucuk surat kepada pihak berwajib agar lereng bukit itu jangan diusik, kerana kata kami, bukit itu ada nyawa. Banyak pihak mentertawakan kami, kerana mereka anggap kami ini percayakan perkara khurafat. Mereka tidak faham apa yang kami maksudkan sebagai 'nyawa' dalam surat-surat kami itu. Bukit bertutur dengan bahasanya.

Sekuntum hujan kembang di lereng bukit.

Kuntum 2


TADI siang, kami telah meredah hutan dan memanjat bukit.

Sudah satu malam itu kami bermukim untuk pesta baca puisi. Pesta ini bukan sebarang pesta. Para pembaca puisi yang dijemput terdiri daripada tokoh-tokoh ternama dari separuh dunia. Jangan kata puisi itu barang hampas. Di banyak bahagian dunia, puisi berakar dan hidup. Ada orang menghirup puisi bersama secangkir kopi. Malah ada yang memakan puisi yang ditulis di atas sepotong roti. Ini kedengaran sungguh aneh.

Kami menyemak puisi-puisi yang akan dibaca. Pembaca akan membaca puisi ciptaan mereka sendiri dalam bahasa asal mereka dan terjemahannya telah dibuat oleh pihak penganjur lebih awal.

"Aku perhatikan puisi penulis Amerika ini sungguh terus terang. Tengok apa yang dia tulis," kata seorang lelaki yang ada di situ.

"Maksudmu apa?" tanya seorang yang lain.

"Baca halaman 200, bukankah dia cabar pemimpinnya?" jawab lelaki tadi.

"Kau ingat penulis kita tak mencabar?" tanya pula tukang hidang teh.

"Aku tak pernah tengok puisi kau yang pedas!"

"Kau silap. Jika aku tulis puisi cabai, ia tetap pedas," kata penyair kosmopolitan itu. "Jangan kau tak tahu pengikut Amiri Baraka ramai di AS. Dia itu salah seorang daripadanya."

"Aku suka kalau dia baca salah sebuah puisi Baraka itu," kata si tikang teh.

"Aku tau puisi apa yang kau maksudkan," sampuk lelaki yang sedang membelek antologi tadi. "Aku baca puisi itu dua puluh kali."

"Puisi apa yang kau baca dua puluh kali? Puisi Baraka ke?" Tanya si tukang teh.

"Ya. Puisi Baraka, Somebody Blew Up Amerika," tegas lelaki itu lagi.

"Jika kau baca puisi Baraka, baca juga puisi Usman Awang. Kaji ada persamaan atau tidak!" cadang lelaki itu.

Kami akhirnya mundar-mandir dalam hutan sastera Timur dan Barat. Ada minta kami membaca Neruda, ada suruh baca Diwan al-Halaj, ada suruh baca Rumi, ada minta baca Hafiz, ada suruh tinjau Walcott, ada minta mendalami Hamzah Fansuri dan ada minta telaah Amir Hamzah. Malah ada di antara kami sudah membaca lebih daripada itu.

Siang esok kami akan menghadiri sesi pembentangan kertas yang berjudul, Puisi Tidak Perlu Ditulis Kerana Puisi Tidak Perlu Dibaca?. Kertas ini akan dibentangkan oleh seorang penyair kawakan dari Hemisfera Selatan. Satu lagi kertas yang dijangka menarik berjudul, Puisi Itu Bara, Puisi Itu Embun oleh pengkritik puisi dari Hemisfera Utara yang akan menggalurkan peranan puisi dalam penyebaran dan penghayatan Islam di Semenanjung Arab ke Kepulauan Melayu.

Malam baca puisi dimulakan sebaik-baik sahaja selesai makan malam. Tetamu undangan ditempatkan di kerusi depan di atas pentas tergantung yang bergemerlapan. Di bawahnya mengalir sungai yang arusnya agak deras. Permukaan air sungai itu disuluh dengan cahaya pancawarna. Pada sebelah siangnya kami cuba bermain-main di atas pentas tergantung itu. Memang menarik bila pentas itu berayun-ayun bila dipijak.

Kami rasa curiga. Kami cuba menentang pembacaan puisi di atas pentas tergantung pada sebelah malamnya. Kami memberitahu pihak penganjur bahawa tanah lapang sudah cukup untuk membaca puisi. Pihak penganjur pula memberitahu kami bahawa pemilik pusat peranginan tepi sungai itu mahu menjadikan pembacaan puisi itu lebih meriah. Pentas tergantung yang dibina betul-betul di tengah sungai baru saja siap.

Penyair melantunkan suara mereka seorang demi seorang. Puisi-puisi panas dan tajam dilontarkan ke kepada khalayak yang rata-rata berada di atas tebing sungai.

Bunyi itu tiba-tiba datang. Bunyi yang sukar ditulis oleh bahasa. Suara penyair bertukar menjadi jeritan panjang. Jerita itu disambut serentak oleh para jemputan dan khalayak di tebing sungai.

Pentas tergantung runtuh! Malam menjadi hingar-bingar.

Dengan sedih seorang rakan berbisik, "Malam ini benar-benar puisi tidak perlu dibaca."

Keesokan harinya akhbar melaporkan seramai sepuluh orang mati lemas; lima lelaki dan lima perempuan. Lima orang lain masih hilang. Jurucakap pemilik pusat peranginan mengatakan hujan lebat di hulu sungai menyebabkan air naik secara tiba-tiba dan arus deras menerjah tiang-tiang penambat dengan kuat. Ini menggugah tiang-tiang pentas itu lalu tercabut.

Semua jari menuding kepada "Hujan".

Kami berkabung dengan berhenti menulis puisi buat beberapa waktu.


Kuntum 3

SEORANG gadis mengutip kuntum-kuntum hujan yang gugur di halaman rumahnya.

Sang gadis membaca setiap huruf pada setiap kelopak hujan itu.

"Rahmat Tuhan melimpah sampai ke segenap liang bumi, menjirus saraf-saraf pohon. Burung-burung basah kuyup sampai ke tulang dan berdoa pada pagi hari. Bumi menggenggam bau harum dari langit tua sahabat abadinya. Hujan menyampaikan salam silaturahim penghuni langit kepada penghuni bumi dengan lidah jernihnya."

Sang gadis mencium kuntum-kuntum hujan itu sepuas-puasnya. Dia tenggelam di dalam kelopak tasbih. Nafasnya bercantum dengan nafas hujan, berlari-lari ke lubuk tafakur paling sunyi. Dia mahu tenggelam dalam kuntuman hujan itu, kerana hujan itu harum dan keharuman itu berakar di langit.

Tatkala kami tiba di rumah gadis itu, dia sudah pengsan.

Kata ibunya, "Semalaman dia bermain hujan kerana katanya hujan itu Rahmat Tuhan. Dalam hujan dia beristighfar, kerana dia hendak membersihkan jiwanya. "

Hujan masih belum berhenti.

Oleh Darma Mohamad


DARMA MOHAMMAD, nama pena bagi Daud Mohammad yang dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 1948, mula berkarya pada 1972 dengan menekuni puisi, cerpen, esei sastera-budaya, buku refleksi sejarah dan novel. Karya secara eceran itu mendapat tempat dalam akhbar dan majalah perdana negara ini seperti Berita Minggu, Berita Harian, Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Sastera, Solusi, Wanita dan Jelita selain mempunyai puluhan antologi puisi. Antologi puisi perseorangan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (jurusan Sastera Tulen) dari Universiti Malaya, 1972/73 antaranya ialah Gernyut nafas (1989) dan Jinjang Iktikaf (2003). Novel remaja, Menjaras Ribut (1991) dan novel umum, Kejora Di Kaki Langit (2008), Derai-Derai Debu (2008) serta Bunga-bunga Terumbu (1992). Novel dewasa, Merinci Ufuk (1991), Langit Duri (1992, ulang cetak 1994) dan Kejora Di Kaki Langit (2008). Buku Umum Berunsur Sejarah � Sejarah 30 Sahabat Nabi + 30 Puisi berunsur Islam, Nafas Di Lembah Atar (2009).

Luahan Hati :Adakah Aku Penyebabnya?

Hanya kerna aku perempuan,
kau buat ku seperti badut yang tidak bernyawa,
kau anggap aku tidak bermakna,
kau biarkan ku dalam dilema,
kau tinggalkan diriku seperti tiada makna,
adakah aku penyebab segala-galanya.

Hanya kerna aku seorang perempuan,
kau mencurangiku seperti aku penghancur segala-galanya,
kau biarkan diriku menghadapi segala-galanya,
tiadakah rasa cinta dalam hidup dirimu.

Kerna aku seorang wanita, ku korbankan segala-galanya,
hanya kau yg sering di dalam jiwa,
tapi kau musnahkan segala-galanya,
adakah aku tak setia,
adakah aku yang membuat angkara,
hingga kau berpaling tadah,
hingga kau musnahkan segalanya.

Akukah yang bersalah,
di atas segalanya,
tinggalkan aku jika kita tak pernah bercinta,
biarkan aku menangis dalam ketawa,
agar kau sentiasa gembira,
agar aku tabah dan menjadi dewasa.

Aku benci dirimu yg lupa akan segalanya,
waktu kau susah aku yang bersama,
waktu kau senang kau lupa segalanya,
tapi aku tak pernah ambil kisah,
lepaskan aku agar ku bahagia,
walaupun dalam kesuraman dunia,
agar aku tabah untuk segalanya...

Nukilan: nj

Koleksi Cerpen Online : Robohnya Menara Kasih

Robohnya menara kasih

Aku sendiri tidak pasti. Apa yang diinginkan emak dalam hidupnya kini. Ada suami yang berkerja tetap. Ada anak, walaupun tunggal. Dan dia sendiri punya kerjaya juga. Ada perniagaan yang nampaknya berkembang maju. Emak wanita kerjaya yang agak berjaya juga.

Suatu hari emak beritahu aku kalau hendak berniaga, kita mesti berniaga betul-betul. Bukan setakat berniaga di dalam negeri sahaja. Kita mesti berniaga dengan orang-orang luar negara sana. Kita mesti bina hubungan antarabangsa.

“Emak dengan rakan kongsi emak, Pak Cik Suki akan kembangkan perniagaan dengan Thailand, Kemboja dan Indonesia.,” jelas emakku hari itu.

“Jadi….mak kena ke sanalah berniaga?” Aku bertanya agak tolol.

“Dah tu, kalau nak ikut era globalisasi, bertaraf antarabangsa, kenalah buat begitu!” Emakku tersenyum lebar dengan megah sekali.

“Ayah pula macam mana?” aku bertanya terus.

“Ayah kamukan polis. Dia kena kerjalah macam biasa di sini. Bukankah itu yang ayah kamu mahu?” emak mencebikkan bibirnya.

“Ayah tak marahkah emak pergi sampai keluar negeri? Bersama-sama dengan Pak Cik Suki saja pula tu?” soalku semakin pelik.

“Kan perniagaan emak ini berkongsi. Pak Cik Suki kau tu yang pegang saham besar dalam syarikat emak itu. Jadi dialah yang menjadi nakhodanya. Emak hanya menurut dan mematuhinya saja!" sahut emak sambil ketawa berdekah-dekah.

Takut pula aku mendengarkan ketawa emak hari itu. Kuat dan menggila-gila benar. Seram sejuk dan meremang bulu romaku dibuatnya.

Lama aku terdiam sambil terpegun. Sebenarnya, aku bukan faham sangat selok-belok perniagaan emak. Entah perniagaan macam mana agaknya yang mereka itu kendalikan. Tetapi, tentulah hebat dan besar. Sampai hendak ke luar negeri. Fikirku pula.

Takkan emak tak boleh berniaga dengan orang Thailand, Kemboja atau Indonesia yang berada di Malaysia ini sahaja? Tak perlulah emak pergi ke Bangkok, ke Jakarta atau pun ke Phnom Penh pula? Hati kecilku bersungut penuh kebimbangan.

Kacau! Kacau sungguh fikiran aku memikirkannya. Jauh di dalam hatiku kini mula timbul suatu perasaan halus. Aku mula diserang rasa bimbang dan takut. Sejak itu, aku mula tidak suka dengan kerjaya berniaga. Aku tak hendak jadi ahli korporat dan ahli perniagaan macam emak itu. Terpaksa tumpukan sepenuh perhatian hanya kepada perniagaan sahaja dan hampir lupakan keluarga dan hal-hal yang lain!

Sanggup balik ke rumah lambat, atau jauh-jauh malam. Tinggalkan anak dan suami di rumah.

Jikalau begitu, biarlah aku cari kerja lain sahaja. Aku tak berminat untuk nak jadi jutawan! Aku tak sanggup mengambil risiko sebagaimana yang emak buat. Rupa-rupanya, ayah juga tidak sanggup ambil risiko begitu. Ayah tak setuju emak jadi wanita kerjaya. Ayah tak suka emak keluar rumah dengan bebas. Ayah tak mahu emak sewenang-wenangnya mengabaikan tugas dan tanggungjawabnya sebagai isteri.

Ayah mula mempersoalkan tindak-tanduk emak. Ayah rasa tindakan emak sudah melampau. Ayah minta emak fikirkan semula tindakannya itu. Ayah mahu emak harus sedar dengan tanggungjawabnya dalam rumah tangga.

Emak mula tidak senang dengan pandangan ayah. Dia anggap sikap ayah itu kolot! Emak terasa ayahku cuba mengongkong dan menyekat kebebasan pergerakannya.

Waktu

Akhirnya, pada suatu tengah malam, emak marah-marahkan ayah. Waktu itu emak baru sahaja pulang dari pejabatnya. Ayah menunggu kepulangan emak di ruang tengah.

“Hai, tak penatkah balik jauh-jauh malam begini?” Tanya ayah dengan lembut dan mesra.

Ayah kedengaran tenang malam itu. Tetapi emak tiba-tiba sahaja seperti tersentak bila disapa ayah. Pertanyaan ayah itu dianggap emak sebagai memperli dan menyindirnya pula? Aku kurang pasti. Tapi, kudengar emak melenting membalas teguran ayah dengan agak kasar.

“Kalau iya pun awak tu sarjan polis, berkuasa menyiasat, menyelidik, hanya di ofis sana! Jangan pula di rumah ini pun awak nak jadi spy! Siasat dan audit tentang perniagaan saya pula! Saya tak suka awak ambil tahu semua ini!” bentak emak dengan sombong.

“Takkanlah saya bertanya macam itu pun tak boleh?” pujuk ayah yang masih berlembut lagi.

“Mengapa pula sejak akhir-akhir ini sahaja awak terlampau suka berleter dan suka masuk campur dalam urusan perniagaan saya? Dulu awak sikit pun tak kisah apa yang saya nak buat.” Sindir emak.

Aku dapat merasakan pergeseran akan berlaku sebentar lagi. Emakku memang tidak senang kalau orang campur urusan perniagaannya. Tapi, aku yakin kalau ayah dicabar-cabar sangat, mungkin dia pun akan melenting juga nanti.

“Siapa kata saya dulu-dulu tak ambil kisahkan awak? Kalaulah saya benar-benar tak kisah tentang perniagaan awak tu, dari mana awak nak korek modal berniaga selama hari ini?” balas ayah bersahaja.

Ayah menjawab dengan nada lembut tetapi pedas bunyinya. Aku mula dapat mengagak dari dalam bilik tidurku, bahawa orang tuaku itu sudah mula sakit hati bunyinya.

“Ohh awak nak ungkit-ungkit ya? Awak ingat sepuluh dua puluh ribu duit awak tu besar sangatkah? Awak tahu, modal perniagaan saya sekarang dah hampir dua setengah juta tahu? Semuanya itu hasil dari pinjaman saya dari bank!”

Bukan main sombong lagi kudengar emak bersuara kepada ayah malam itu. Dia terus bersungut-sungut dan membebel sendiri.

“Memanglah tak banyak tiga puluh ribu ringgit itu Mah! Tapi kalau tak ada tiga puluh ribu dulu itu, mana boleh kamu nak mulakan perniagaan? Sepatutnya kamu bersyukur dan berterima kasih atas sokongan dan perihatin saya selama hari ini. Ini tidak, awak bukan main takbur lagi! Macam hendak menidakkan kuasa Tuhan pula nampaknya!” Seranah ayah dengan kesal bercampur marah.

Nampaknya kedua-dua mereka sudah tak ada kompromi lagi. Emakku pula, apabila ayahku buka mulut sedikit malam itu, dia akan menjawab sambil menyerang ayah semula dengan berteler-teler sekali. Sampai ayah tak dapat hendak mencelah langsung.

Kukira, inilah yang membuatkan ayahku merasa jemu dan bosan dengan sikap emakku. Apabila ayah naik bosan, emakku juga ikut bosan sama. Akhirnya, masing-masing mula mengelakkan diri daripada bertengkar dan bertelingkah begitu lagi.

Sejak malam itu aku lihat ayahku nampak merajuk benar. Dia pula yang mula balik lewat malam daripada kerjanya. Kadang-kadang tak balik langsung. Ayahku tidur di balai polis sahaja.

Retak itu aku rasa sudah semakin membesar dan menantikan belahnya sahaja. Ia akan terjadi. Entah esok! Kalau tidakpun lusa! Hati kecilku mula mengagak.

hubungan

Aku mendiamkan diri dalam bilik. Mereka kini sudah bertelagah. Nampaknya, hubungan ayah dengan emakku juga menunggu saat kehancurannya sahaja. Cuma, aku belum pasti, bila masanya sahaja.

Emakku pula sudah beberapa kali mendesak-desak ayah. Emak mula mencabar kesabaran ayah. Sesekali kelihatan ayahku tak dapat bertahan dengan kesabarannya itu.

Pada suatu malam, emak dengan lantang dan beraninya mendesak ayah, “Baik kita berpisah sahaja daripada hidup saling bercakaran seperti anjing dengan kucing begini!” Ujar emak dengan muka yang masam.

“Siapa yang memulakannya dulu?” Tanya ayah dengan tegas.

“Tak kira siapa yang memulakannya. Tapi, apa yang saya nak, penyudahnya!” Bentak emakku dengan lantang sekali.

“Saya ini Mah, dah banyak sangat bersabar selama ini. Tapi nampaknya sekali ini saya sudah tak tahan lagi,” terang ayahku secara jujur dan ikhlas.

“Jadi apa yang awak mahu? Mahu kita bercerai saja?” Ugut emak lagi sebagai mencabar keberanian ayahku. Kedengaran ayahku bersungut-sungut, sesekali. Kadang-kadang aku juga mendengar ayah merayu dan mohon timbang rasa emak untuk memikirkan soal cerai-berai itu dengan lebih adil dan saksama. Supaya tidak bertindak terburu-buru!

“Ah…sudahlah! Tak guna berbelit kata lagi. Saya dah bosan hidup dengan awak. Macam kuda kayu. Tak ada tenaga tak ada kekuatan untuk hidup langsung!” emakku mencabar ayah lagi.

Emakku memang kepala batu! Dia tetap berkeras. Apabila emak gagal mendengar ucapan keramat daripada mulut ayah sendiri, dia mula mencabar ayah terus-menerus. Emak kata ayah sudah tak berguna sesen pun kepadanya lagi. Pada emak, ayah tak berjiwa besar macam rakan kongsi perniagaannya itu. Emak sudah berani membandingkan ayah dengan Pak Cik Suki yang sudah berbini dua itu.

“Nampaknya kamu ni Mah, bukan main lagi jantannya! Mentang-mentanglah aku ni diam dan asyik bersabar sahaja, kulihat kepala akupun kamu nak pijak?”

“Awak bukannya jantan! Betina pengecut! Dayus awak kalau tak menceraikan saya!” Seranah emak dengan bengis malam itu. Ayah mengalah. Akhirnya secara terpaksa, dia melafazkan juga kata-kata keramat itu. Dengan ucapan itu, bermakna terungkailah ikatan pernikahan mereka berdua. Bagi emak, itu sahajalah yang ditunggu-tunggunya selama ini. Memang kata-kata begitu yang diinginkannya sangat-sangat!

gelisah

Malam itu aku menjadi amat gelisah sekali. Sukar bagi mataku untuk pejam dan terlena. Gambaran ngeri itu datang bertubi-tubi semasa aku dalam pembaringan itu. Aku terasa bagaikan dunia ini terbelah dua. Sebelah untuk ayah. Dan sebelah lagi untuk emakku.

Jika aku ikut dunia ayah, aku akan dapat kasih sayang sepenuhnya, kerana ayah takkan menyayangi sesiapa yang lain. Jika aku memilih dunia emak, aku terpaksa menerima sebahagian daripada kasih sayang emakku itu sahaja. Sebahagian lagi emak terpaksa berikan kepada bakal suaminya, rakan kongsi yang diagung-agungkannya sangat itu.

Peliknya, emak menolak ayah, sedangkan ayah hanya ada emak seorang bersama aku sahaja. Tetapi alangkah gilanya emak kalau memilih Pak Cik Suki yang sudah beristeri dua dan mempunyai enam orang anak. Emakku akan jadi isteri ketiganya! Sebanyak manalah kasih sayang yang dapat diberikan oleh Pak Cik Suki itu lagi pada emak nanti? Satu perlapan atau satu persepuluh sahaja agaknya?

Aku geleng kepala memikirkan kebodohan emak itu. Sekarang, aku mulai sedar, sejak pemergian emakku, ayah sering sahaja bermenung dan memencilkan diri. Dia lebih senang bersendirian. Aku nampak ayah selalu sahaja kelihatan murung. Hatinya tentu sahaja rusuh.

Sekarang, orang tuaku itu sudah tidak banyak lagi bercakap-cakap. Dengan aku pun dia tidak mahu banyak lagi berbual-bual kosong. Dia asyik cuba mengelak sahaja. Apa yang jelas, sejak kebelakangan ini, ayah mudah sangat cepat naik darah. Dia marah tidak tentu fasal. Aku kasihan, dan harus memahami situasi dan perasaannya.

Kini, aku dalam keadaan serba salah. Aku sudah mula tidak tahu siapakah diriku ini sebenarnya. Aku terasa seolah-olah dunia di sekelilingku ini menjadi amat sunyi dan sepi. Aku buat seperti ayah, menyendiri untuk mendapatkan ketenangan baru. Aku lebih senang jika tidak sesiapa pun yang mengerti isi hatiku ini. Biarlah! Biarlah aku begini. Aku sedar bahawa nasibku memang tak menjadi.

Sesekali kuingat barangkali ini yang sudah ditetapkan Allah Taala. Jika begitu, aku pasrah dan menerimanya dengan reda. Aku terpaksa hidup dengan belaian kasih sayang dari seorang ayah sahaja.

Tapi, ayahku bagaimana pula? Sanggupkah dia bersendirian selamanya? Dia sudah lebih dua belas tahun bersama emakku. Tiba-tiba perasaan nakalku menyelinap ke dalam rongga otakku. Bagaimana kalau ayahku terpaksa mencari ganti pula? Kini aku baru rasa betul-betul bingung! Merah padam rasa aku menahan rasa takutku itu. Berkerut-kerut dahiku dibuatnya. Aku jadi serba tak kena. Aku tak mahu emak tiri. Hati kecilku berkata dengan jujur dan ikhlas.

Aku teringat cerita-cerita dalam filem klasik Melayu. Banyak cerita dan peristiwa yang negatif terjadi antara ibu dan anak tiri. Pendeknya, setiap cerita itu menggambarkan tentang bengis, sombong dan jahatnya perangai ibu tiri itu. Aku ingat bagaimana penyiksaan demi penyiksaan yang dilakukan oleh setiap ibu tiri itu terhadap anak tiri mereka.

Apakah aku juga akan begitu nanti? Aku tak dapat menjawab persoalan batinku itu. Namun peganganku tetap kukuh dan tak berganjak. Aku tak sanggup! Aku tak rela! Memang aku tak mahu beribu tiri. Noktah! Aku tak

mahu gadis atau wanita mana sekali pun merampas ayah dari tanganku. Biarlah orang kata aku selfish, oportunis, tamak, tak mengapa. Gasaklah! Aku tak peduli lagi.

Orang nak kata apapun, katalah. Aku sedikitpun takkan marah. Aku sudah menutup pintu hatiku kedap-kedap! Tak mahu memikirkannya buat kali kedua. Cukuplah sekali, aku sudah serik! Mataku yang lemah itu perlahan-lahan terkatub akhirnya!

Aku terlelap juga.

Oleh Muhd. Mansur Abdullah